TERKINI :

Monday, November 16, 2015

Kerjasama boleh berjaya, PAS kini menyamai Umno, kata mufti Perlis

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata PAS pada hari ini tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding Umno dan kerjasama antara kedua-dua parti itu mungkin akan berjaya.

Beliau berkata, kerjasama politik PAS dan Umno kali ini mungkin dapat mencipta kejayaan selepas melihat kepada idealisme 2 parti itu yang kini tidak jauh berbeza berbanding dulu.

"PAS hari ini hampir menyamai Umno daripada segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok saja.

"Itu pun bukan soal pokok. Jika PAS dan Umno dapat menjadi sahabat baik yang berpesan kepada kebaikan dan kebenaran serta mencegah kemungkaran mungkin banyak manfaatnya," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Asri berkata, sudah tiba masanya PAS menimbangkan untuk mengadakan kerjasama secara serius dengan Umno.

Asri berkata, idea yang diinginkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi untuk bekerjasama dengan Umno tidak mustahil dapat direalisasikan jika kedua-dua parti majoriti Melayu itu berusaha menjayakannya.

"Hari ini saya terfikir alangkah indahnya jika PAS dapat membaiki dan mengimbangi Umno dengan mewujudkan hubungan yang matang, tegas tapi mesra," katanya dalam tulisan di Facebooknya hari ini.

Reaksi mufti Perlis itu dipercayai susulan daripada kenyataan Hadi semalam mengesahkan akan bekerjasama dengan Umno, tetapi berkeras mengatakan PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Hadi menegaskan berulang kali kerajaan perpaduan bersama BN tidak akan berulang, namun kerjasama PAS dengan gabungan pemerintah itu akan tetap berjalan.

Katanya, definisi kerjasama yang dimaksudkan itu ialah seperti ketika berlaku pencerobohan negara asing ke atas Malaysia, daripada segi menangani jenayah, dadah dan pelarian.

Malah hari ini Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan Hadi  akan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan yang dinamakan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 16 hingga 18 Disember depan.

Pengesahan itu ekoran sebuah poster berkaitan program tersebut yang kini hebat disebarkan di laman sosial, menyokong dakwaan kerjasama antara PAS di bawah pimpinan Hadi dengan Umno.

Pada masa sama Asri berkata, saranan itu dibangkitkan memandangkan sebelum ini cubaan PAS untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang tidak pernah berhasil.

"Gagal disebabkan sifat parti dan idealisme PAS yang dipegang.

"PAS patut mencuba dengan Umno lebih serius mana tahu mungkin di sana ada kebaikan untuk umat di negara ini," katanya. – 16 November, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...