TERKINI :

Saturday, November 7, 2015

Kerjasama BN: Timbalan Presiden PAS kata tak perlu

PAS berkata dakwaan bekas naib presiden parti itu Datuk Husam Musa bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno dan beberapa wakil PKR tidak benar.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu juga sudah dinafikan oleh Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar pada 2014.

Kata Tuan Ibrahim PAS juga tidak mempunyai sebarang keperluan untuk bekerjasama dengan Umno di Selangor.

“Kenyataan tersebut tidak betul sebab kita di Selangor tidak ada keperluan bekerjasama dengan Umno seperti yang didakwa oleh Husam," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Husam dalam satu ceramah di Pasar Kedai Mulong, Pasir Mas dilaporkan mendakwa Abdul Hadi mengaku pernah cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Usaha itu, kata Husam, cuba dijalankan dengan memujuk beberapa ADUN daripada PKR menyertai gabungan berkenaan.

Klip video ucapan Husan dimuat naik di Facebook pagi ini dan cepat dikongsi pengguna Internet.

Mungkin panggil Husam

Husam yang juga ADUN Salor tidak menyatakan insiden mana dimaksudkan dalam ucapannya itu.

Bagiamanapun, Husam dipercayai merujuk situasi ketika kerajaan Pakatan Rakyat berdepan krisis pertukaran Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Mohamed Azmin Ali tahun lalu.

Mengulas lanjut apakah PAS akan mengambil tindakan kepada Husam, Tuan Ibrahim berkata parti itu akan meneliti terlebih dahulu kenyataan tersebut sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim tidak menyatakan bilakah mereka akan bermesyuarat.

“Kita akan teliti terlebih dahulu kenyataan beliau sebelum dibawa ke mesyuarat parti dan hanya akan ambil tindakan berdasarkan laporan yang diterima.

"Mungkin Husam boleh dipanggil untuk beri keterangan berhubung perkara itu,” kata Tuan Ibrahim.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...