TERKINI :

Wednesday, November 18, 2015

Kerajaan Negeri Kedah diminta kaji semula semakan kadar cukai sewa tanah yang naik sampai 300%

Kaji semula semakan kadar cukai
ALOR SETAR - Kerajaan negeri diminta mengkaji semula semakan kadar cukai sewa tanah yang mula berkuatkuasa awal tahun hadapan agar tidak membebankan penduduk berpendapatan rendah.

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu dijangka meningkatkan hasil kerajaan negeri kepada RM215 juta berbanding tahun ini hanya RM112 juta.

Beliau berkata, beberapa kategori seperti rumah kos rendah dan keluasan tanah kecil turut mengalami kenaikan agak tinggi.

"Kita buat andaian sebuah rumah dalam bandar dengan keluasan tanah 10,000 kaki perseg. Jika dahulu kadar cukai RM150 dan selepas ini menjadi RM350 lebih 100 peratus kenaikan.

"Begitu juga rumah berkembar dengan keluasan 3200 kaki persegi. Kadar lama RM80 dan meningkat kepada RM112," katanya kepada media selepas sidang Dun Kedah, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi kawasan industri sederhana di Pekan Baling dengan keluasan tanah kurang dari dua hektar sebagai contoh, satu hektar sebelum ini perlu bayar RM1,100 dan tahun hadapan kadarnya ialah RM3,500 iaitu kenaikan 300 peratus.

"Kadar kenaikan yang berlaku cukup tidak munasabah. Cukuplah dengan bermacam-macam tekanan hidup yang terpaksa dihadapi rakyat seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tol. Apabila datang ke Kedah cukai tanah turut meningkat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri perlu melihat semula hasil balak yang diperolehi melalui premiumnya.

"Kita tidak teragak-agak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berlaku perkara yang menyalahi undang-undang," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...