TERKINI :

Monday, November 9, 2015

‘Kenapa tak rampas rokok yang ada 4,000 racun?’


SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyerbu premis dan merampas perisa-perisa rokok elektronik atau vape yang mempunyai kandungan nikotin sedangkan bahan yang sama digunakan dalam rokok.

Ketua Aktivinya, Datuk Nadzim Johan menegaskan kementerian itu perlu membuat kajian secara menyeluruh tentang kesan penggunaan perisa vape bernikotin itu khususnya kepada perokok kedua atau “second hand smoker” sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kabinet perlu membuat keputusan yang jelas dan masuk akal berdasarkan undang-undang yang dikeluarkan setelah kajian dilaksanakan. Buatlah kajian betul-betul, rokok beratus tahun elok saja, elok tak diharamkan walaupun ada 4,000 racun dalamnya, tapi elok saja.

“Ada atau tidak (kesan), kenalah buat kajian termasuk universiti, bukan kajian yang dibuat oleh pihak yang ada kepentingan, ia perlu dikaji dan perlu ada regulasi yang jelas, tak boleh diambil tindakan tergesa-gesa nak rampas, nak tahan dulu sebelum ada keputusan, takut keputusan dibuat itu nampak tak jelas,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semalam bahawa penjual serta pengguna vape yang menggunakan perisa bernikotin akan berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Menurutnya, nikotin adalah barang kawalan di bawah Akta Racun dan ia dikhuatiri menjurus kepada penyalahgunaan cecair berbahaya tersebut kerana dengan hanya 40mg kandungan nikotin sahaja sudah boleh membunuh seorang dewasa.

Mengulas lanjut, Nadzim juga berkata, kerajaan perlu membenarkan rokok elektronik itu digunakan untuk merawat ketagihan perokok tegar sebagai terapi dengan memastikan kandungan perisa vape itu selamat.

“Kita lihat orang yang menggunakan vape ini sebagai satu terapi kepada usaha untuk berhentikan tabiat merokok yang berkurun lama, maka bagi saya ia terapi dari benda tidak baik banyak tidak baik kurang sikit kebaikan. Kalau benda ini diambil untuk menepati citarasa orang muda, maka ia tak masuk akal bagi saya.

“Kalau ia boleh dijadikan terapi, ia perlu dibenarkan, tapi untuk orang yang merokok saja, lepas itu kena syaratkan siapa yang boleh membeli, kenal pasti siapa yang tak boleh membelinya dan tempat penjualan perisa vape,” jelasnya.

Nadzim turut menyindir tindakan kementerian tertentu yang terburu-buru mahu mengenakan cukai terhadap rokok elektronik itu, sedangkan ia sepatutnya dilakukan oleh agensi percukaian lain.

“Kalau nak cukai pun tak apa, tapi biarlah pihak berkenaan yang buat cukai, bukan kementerian lain yang kelam kabut buat cukai, ini agak pelik dan menimbulkan tanda tanya.

“Inisiatif ini kalau datang dari Jabatan Kerja Raya atau KKM nak keluar cukai, benda ini nampak pelik, ia seharusnya datang dari pihak berkaitan seperti Kementerian Kewangan atau Lembahag Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya lagi.-sinar harian

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...