TERKINI :

Monday, November 23, 2015

Kelas KAFA di Kedah ditutup, tiada dana bayar bil elektrik

LAPORAN AUDIT l Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JJAKIM) di Kedah terpaksa ditutup kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membayar untuk bil elektrik dan air, kata Laporan Ketua Audit Negara 2014.

Menurut siri ketiga laporan yang dikeluarkan hari ini, kelas yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Langkawi itu kemudiannya terpaksa dipindahkan ke lima masjid dan surau.

"Jabatan Pelajaran Kedah tidak lagi menyediakan dana untuk membayar bil-bil elektrik dan air bermula dari penggal persekolahan 2010.

"Sekolah tidak lagi dapat menanggung kos utiliti jika kelas KAFA diadakan di sana," petik laporan itu.

Kelas KAFA di SK Kilim, Kedah juga berpindah ke Masjid Kilim kerana "tidak ada peruntukan yang cukup untuk memenuhi keperluan pelajar".

JAKIM yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan kelas berkenaan kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun selepas sekolah.

Menurut laporan itu, program ini diberi peruntukkan RM1.05 bilion dari 2012 hingga 2014. Sejumlah 854,271 pelajar mendaftar di kelas KAFA pada tahun lalu.

Walaupun peruntukan yang besar, kajian audit juga mendapati bahawa pelajar-pelajar di Kota Belud, Sabah terpaksa belajar di bilik darjah tanpa meja dan kerusi.

Dua kelas terpaksa berkongsi sebuah bilik darjah di Tawau manakala pelajar di Papar terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan meja.

Seramai 257 guru KAFA juga memberitahu juruaudit bahawa mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk bahan-bahan pengajaran, termasuk membeli pen penanda.

Audit juga mendapati rekod latihan untuk guru-guru dalam keadaan "kucar-kacir" dengan sebahagian besar guru tidak menghadiri latihan yang diperlukan.

Sesetengah guru di Sabah juga mengakui kepada kepada juruaudit bahawa mereka tidak tahu lokasi pejabat JAKIM di Sabah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...