TERKINI :

Thursday, November 5, 2015

Kajian Bebas mendapati Ahli politik pencetus kontroversi

 Ahli politik pencetus kontroversi
ALOR SETAR - Kajian badan bebas termasuk dari beberapa universiti tempatan mendapati ahli politik lebih banyak mencetuskan kontroversi perpaduan.

Exco Perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kebanyakan ahli politik mengambil kesempatan untuk merebut kuasa demi mencapai kepentingan peribadi dan puak masing-masing.

“Ini bukan pandangan saya tetapi berdasarkan kajian yang dibuat. Antara kumpulan yang banyak mencetuskan ‘kontroversi ekstrem’ dalam masyarakat ialah dari pemimpin politik sendiri.
“Berdasarkan kajian itu, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan perbetulkan keadaan supaya dapat memberi tumpuan kepada menyumbang bakti dan jasa untuk negara,” katanya selepas melancarkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Baru peringkat negeri di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan perpaduan dalam kalangan akar umbi dan rakyat jelata masih baik.


“Kontroversi itu tidaklah sampai berlaku pergaduhan berunsur perkauman atau keagamaan. Cuma bila ada isu politik dan semasa, ia sengaja dilihat dari sudut perkauman dan keagamaan.

“Perkara ini harus dielakkan kerana kita mahu Malaysia menjadi contoh perpaduan yang terbaik kepada seluruh dunia,” katanya.

Pada program itu, beliau turut melancarkan 27 cawangan KRT dan 15 SRS baharu di Kedah.

“Sehingga kini, kita mempunyai sebanyak 435 KRT dan 246 SRS dengan 10,875 ahli KRT dan 7,380 ahli SRS.

“Mereka berperanan sebagai peronda sukarela yang menjaga keselamatan dan kebajikan dalam kawasan komuniti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Mohd Saidi Midin menasihati semua ahli KRT dan SRS menjalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan berwibawa.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...