TERKINI :

Saturday, November 14, 2015

JITRA - Laluan penduduk kampung becak, paip air pecah kerana kerja mengorek sungai

Laluan becak, paip air pecah

JITRA - Penduduk di Kampung Cherok Na, Mukim Pelubang, dekat sini, berdepan pelbagai masalah melibatkan jalan, bekalan air dan elektrik sejak pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dijalankan di kawasan itu.

Penduduk, Teeh Chan, 73, berkata, laluan utama mereka kini bukan sahaja rosak malah becak sehingga mengundang bahaya.

Menurutnya, dia sudah dua kali terjatuh akibat laluan yang licin dan berlopak.

"Bukan saya sahaja yang menjadi mangsa, malah beberapa penduduk lain turut menerima nasib yang sama.

"Selepas kejadian itu, penduduk pernah berjumpa dengan kontraktor dan meminta jalan itu dibaiki. Mereka sudah berjanji tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Katanya, pihak kontraktor sepatutnya membina laluan baharu untuk penduduk sebelum projek itu dilakukan kerana ia merupakan laluan utama.

Bagi Othman Mohamad, 64, pula, keadaan jalan sebegitu sememangnya menyukarkan dia dan isteri untuk keluar rumah seawal jam 4 pagi bagi menjalankan tugas di masjid.

Menurutnya, pernah satu ketika dia terpaksa meminta isterinya berjalan sejauh 600 meter kerana laluan yang berlopak dan licin.

Bukan sahaja berdepan masalah jalan rosak, Othman mendakwa beberapa paip air untuk dibekalkan kepada penduduk kampung juga sering rosak kerana kerja mengorek sungai itu.

Katanya, penduduk pernah terputus bekalan air selama empat hari kerana paip utama yang menyalirkan air ke kampung terputus akibat kerja melebarkan sungai itu.

“Begitu juga dengan tiang elektrik turut rosak hingga bekalan elektrik sering terganggu dan menimbulkan masalah kepada penduduk.

"Kami bimbang jika pihak berkuasa masih gagal mengatasi masalah ini, penduduk akan menanggung akibatnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Charok Na, Aminudin Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan kontraktor yang masuk tanpa memaklumkan kepada pihaknya.

"Selepas projek ini dijalankan, pelbagai rungutan dari penduduk diterima.

“Bagaimanapun masalah ini sudah saya ajukan kepada Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom dan juga wakil dari JPS. Pihak berkenaan memberi masa seminggu kepada pemaju supaya dapat membaiki semula jalan yang berlopak serta paip air supaya tidak menjejaskan kehidupan harian penduduk di situ,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...