TERKINI :

Sunday, November 1, 2015

Jangan tutup masalah negara dengan asap vape

IDRIS AHMAD | 01 November 2015.


Kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape sebagai memahami aspirasi anak muda adalah sangat wan mengecewakan.

Ia menyimpang jauh dari cita-cita sebenar negara dan ibu bapa mereka untuk melihat modal insan yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara.

Saya menyeru supaya kerajaan meneliti beberapa fakta berikut untuk dijadikan rujukan:

1. Kajian terkini oleh Public Health England bertajuk ‘E-cigarettes: a new foundation for evidence-based policy and practice’ menunjukkan bahawa vape mempunyai potensi untuk menolong perokok supaya berhenti merokok. Namun, ia bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan bahawa vape digunakan untuk tujuan berhenti merokok sahaja dan tidak mendedahkan budaya vape kepada bukan perokok dan kanak-kanak. Adakah kerajaan sudah bersedia dengan akta kawalan untuk melindungi golongan tersebut dan kawasan bebas asap rokok?

2. Laporan tersebut turut menekankan bahawa setiap klinik berhenti merokok perlu digiatkan secara aktif untuk memastikan perokok yang bertukar kepada vape akhirnya berhenti merokok. Mohon jemaah menteri periksa berapa bilangan klinik berhenti merokok yang aktif di seluruh negara dan berapa bilangan kakitangan yang mahir dan bersedia untuk menggerakkannya.

3. Kajian di United Kingdom (UK) menganggarkan bahawa kandungan vape adalah 95% kurang berbahaya. Namun, perlu ada piawaian dan pemantauan oleh badan bertanggungjawab terhadap kandungan bahan kimia vape di pasaran. Sedangkan, hari ini kedai vape tumbuh bagai cendawan selepas hujan, siapa yang kawal selia?

4. Kajian tersebut juga adalah berasaskan perokok yang bertukar kepada vape di mana penggunaannya hanya meningkat naik sejak tahun 2012 di UK. Ini bermakna kita belum tahu kesan vape kepada pengguna baru serta kesan jangka masa panjang penggunaannya. Adakah benar kerajaan ingin memenuhi aspirasi anak muda dengan sesuatu yang belum pasti?

5. Public Health England telah menzahirkan keazaman untuk melahirkan generasi bebas tembakau menjelang 2025. Oleh itu, pelbagai langkah diambil termasuklah untuk memantau secara berterusan kesan penggunaan vape kepada individu dan masyarakat serta menjalankan kajian ke atas keselamatan dan keberkesanannya. Adakah jemaah kabinet telah meletakkan sebarang matlamat dan apakah langkah yang dirancang bagi menjamin vape benar-benar selamat dan dapat menyelesaikan masalah ketagihan rokok? Sedangkan kajian ada menunjukkan wujud perokok yang ketagih vape pula.

Oleh itu, kerajaan mengambil pendekatan yang berkesan dengan melihat kepada gambaran yang lebih besar bahawa ketagihan sebenarnya adalah masalah utama. Sedangkan kawalan diri adalah intipati taqwa.

Janganlah kerana ketagihan sokongan anak muda sehinggakan lupa bahawa Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri telah mengeluarkan kenyataan mengenai penggunaannya.

Mana mungkin asap vape boleh mengaburi kebejatan sosioekonomi yang melanda negara. - HARAKAHDAILY 1/11/2015

Penulis ialah Naib Presiden PAS juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...