TERKINI :

Saturday, November 7, 2015

Jangan selektif ambil keterangan Dr Mahathir sahaja, kata Shafie

 Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tidak boleh hanya Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja yang disoal siasat polis sementara pemimpin yang lain melanggar undang-undang tidak disentuh. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2015.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disoal siasat kerana mengkritik Datuk Seri Najib Razak dan firma pelaburan milik negara, tetapi tidak pemimpin lain yang melanggar undang-undang.

Bekas menteri itu, yang digugurkan daripada Kabinet selepas secara terbuka menyoal Najib berhubung dakwaan skandal kewangan, berkata Dr Mahathir adalah seorang negarawan yang perlu dihormati dan banyak berjasa.

"Saya berharap kalau kenyataan diambil terhadap tokoh seperti Tun, jangan pula ada tokoh lain yang melanggar undang-undang tetapi kenyataan langsung tidak diambil," kata Shafie ketika ditemui pada program Hari Diabetes Peringkat Daerah Semporna hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak boleh bersifat selektif dalam melakukan penyiasatan dan menjalankan undang-undang.

"Perlu ada konsistensi dalam melaksanakan undang-undang yang ada. Tidak bolehlah selektif dalam kita melaksanakan tanggungjawab ini," katanya.

Polis semalam menyoal Dr Mahathir selama kira-kira 45 minit di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Veteran Umno itu bagaimanapun berkata, beliau memilih untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos, yang menuntut pembaharuan demokrasi dan peletakan jawatan Najib berhubung skandal kewangan yang didakwa melibatkan beliau.

Pada perhimpunan tersebut, beliau membuat kenyataan terbuka mengenai Najib dan mendakwa perdana menteri mengambil wang rakyat.

Dr Mahathir, yang kini merupakan pengkritik Najib yang paling lantang, sedang disiasat kerana kesalahan jenayah fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Polis hari ini berkata, kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu hampir siap dan akan dikemukakan kepada pendakwa raya tidak lama lagi.

Shafie, bersama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyoal Najib berhubung syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang merupakan cetusan idea perdana menteri.

Kedua-dua pemimpin itu disingkirkan daripada Kabinet dalam rombakan pada akhir Julai.

Selain dakwaan skandal kewangan 1MDB itu, Najib juga berada di bawah tekanan berkaitan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Beliau menafikan dana itu datang dari firma milik Kementerian Kewangan itu, tetapi tidak memberikan penjelasan mengenainya.

Dana itu kemudiannya disahkan sebagai sumbangan daripada penderma yang tidak dinamakan dari Timur Tengah.

Shafie juga merupakan salah seorang bekas pemimpin dan veteran Barisan Nasional yang menyertai Dr Mahathir pada satu sidang media bulan lalu, mengutuk penggunaan undang-undang keselamatan terhadap bekas pemimpin Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Dua individu itu didakwa cuba mensabotaj ekonomi Malaysia selepas Khairuddin membuat laporan dengan pihak berkuasa di luar negara terhadap 1MDB. – 7 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-selektif-ambil-keterangan-dr-mahathir-sahaja-kata-shafie#sthash.vcRhTqKt.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...