TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Isu YAPEIM - Cerdik, Tak Berapa Cerdik atau Terlebih Cerdik..?

Shahbudin Husin, 

Susulan beberapa pendedahan oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan atau NOW berkaitan perbelanjaan YaPEIM di luar negara, termasuk menganjurkan kursus perkahwinan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya berkata, program yang diadakan di Paris  itu ialah bagi  menjimatkan kos. 

Katanya, dari segi ekonomi memang menjimatkan kos pelajar luar negara kerana mereka tidak perlu pulang ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri kursus tersebut.

"Apabila kita buat di luar negara dan kita kumpulkan 150 untuk menghadirinya, belanjanya memang sedikit. Itulah keuntungannya," jelas beliau.

Cerdik, tak berapa cerdik atau terlebih cerdik kenyataan seperti itu?

Sebagaimana yang didedahkan oleh NOW sebelum, kos untuk kursus perkahwinan di Paris itu yang katanya termasuk untuk memastikan pelajar tidak terpengaruh dengan budaya LGBT telah menelan belanja sebanyak RM290 ribu sedangkan bayaran untuk menghadiri kursus perkahwinan di Malaysia adalah di bawah RM200 seorang.

Dengan kos sebanyak RM290 ribu bagi 150 peserta, berapa belanjanya untuk tiap seorang peserta?

Adakah ia lebih murah daripada RM200 tadi?

Perlu dan terdesak sangatkah kursus perkahwinan diadakan untuk pelajar-pelajar di luar negara? Sudah berapa ramai pula yang terlibat dengan LGBT?
Jika pelajar ingin berkahwin selepas kembali ke tanahair, apakah tidak boleh mereka mengambil kursus itu di dalam negara sama ada ketika pulang bercuti atau setelah tamat pengajian dengan kosnya hanya sekitar RM200 saja?

Kalau mereka ingin berkahwin di Paris pula, adakah sijil keluaran JAWI itu merupakan syarat wajibnya sebagaimana di Malaysia?

Selain itu, adakah dengan mengadakan kursus tersebut, pihak JAWI, YaPEIM dan sebagainya, lebih bertujuan menggalakkan pelajar berkahwin semasa dalam pengajian mereka? 

Atau cakap saja terus-terang, semua kursus-kursus ini sekadar untuk menghalalkan program jalan-jalan dan cuti-cuti pihak tertentu di Malaysia ini untuk ke luar negara? (SH 21/11/2015)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...