TERKINI :

Sunday, November 22, 2015

Ikatan umum bertanding tiga kerusi Parlimen pada PRU-14

 ikatan_spr_600
SERI KEMBANGAN : Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengumumkan akan bertanding di tiga kawasan Parlimen iaitu Serdang, Cheras dan Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agungnya, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid berkata, Bendahari Agung parti itu Datuk Seri Steven Eng akan bertanding di Serdang, Ahli Dewan Tertinggi, Datuk Seri Phua Hean Sen di Cheras dan Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman di Gombak.

Tambahnya, Ikatan hanya memilih untuk bertanding di kawasan bandar pada PRU-14 kerana idologi parti itu pada dasarnya sesuai untuk pengundi kawasan bandar.

“(Ia juga disebabkan) masalah utama adalah di kawasan bandar,” katanya kepada Free Malaysia Today di Mines Resort City pada Jumaat.

Tengku Mudzaffar berkata, Ikatan belum bersedia untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“DUN belum lagi, kita fokus kepada parlimen dahulu,” katanya.

Dia juga diminta mengulas adakah parti itu akan bergabung bersama Pas untuk membentuk sebuah pakatan baharu.

“Kita pun berbaik dengan Pas. Tapi kita tidak akan bergabung dengan Pas. Kita bergerak secara sendiri kerana kita ini parti yang pelbagai kaum. Kita dah ada Melayu, Cina dan India..semua bangsa.

“(Tapi) semasa pilihan raya, kalau Pas nak buat rakan strategik, kita akan lihat perkara itu,” jelasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...