TERKINI :

Sunday, November 22, 2015

Husam tak timbulkan pertemuan PAS-Umno 2008, Khalid beritahu Mustafa

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad meminta Datuk Mustafa Ali memberikan tumpuan kepada isu yang dibangkitkan Datuk Husam Musa, iaitu pengakuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang PAS mahu membentuk kerajaan bersama Umno di Selangor.

Khalid yang kini berada di Arab Saudi, mengulas permintaan Mustafa agar beliau memberikan penerangan dalam isu pertemuan antara PAS dengan Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

"Kes 2008 bukan yang ditimbulkan Husam. Tumpu pada isu Husam timbulkan dulu," kata Khalid kepada The Malaysian Insider.

Mustafa yang kini pengarah pilihan raya PAS, dalam kenyataannya semalam terkilan dengan tindakan parti Islam itu menyekat cadangan bersemuka dengan Husam tetapi akur dengan keputusan itu.

Disebabkan itu, Mustafa meminta Khalid yang turut serta menemui pimpinan Umno memberikan pencerahan.

Mustafa yang sebelum ini setiausaha agung PAS, meminta Khalid memberikan pencerahan mengenai siapa yang minta berjumpa Umno dan mengapa mereka sanggup untuk berjumpa.

Husam ketika memberikan ceramah di Kota Baru, Kelantan baru-baru ini mendakwa presiden PAS mengaku mahu membentuk kerajaan dengan Umno di Selangor di samping mempelawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR termasuk Mohamed Azmin Ali menyertai parti Islam itu.

Husam juga mendakwa Mustafa dan Nasharudin ada berjumpa secara sulit dengan pimpinan Umno.

Ekoran itu, Mustafa mengajak Husam bersemuka bagi mencari pencerahan di samping mengajak Khalid untuk turut serta sebagai saksi dalam pertemuan itu. – 22 November, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...