TERKINI :

Sunday, November 15, 2015

Husam tak sepatutnya terus babitkan isteri dalam sumpah politiknya..!!

Shahbudin Husin,


Walaupun kita mungkin dapat memahami mengapa bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa sanggup bersumpah mentalak isterinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya mengenai penubuhan kerajaan campuran parti itu dengan UMNO melalui usaha Hadi Awang sendiri, tindakan beliau tetap merupakan sesuatu yang tidak sewajarnya.

Kalau pun ingin menunjukkan dakwaannya itu bukan main-main dan seolah-olah Hadi Awang mengkhianati perjuangan Pas, apakah bersumpah melibatkan isteri sendiri merupakan sesuatu yang seharusnya terus dilakukan?

Kenapa asyik-asyik isteri yang dijadikan gadaian dan galang ganti untuk menunjukkan kehebatan perjuangan?

Bukankah sebagai pemimpin progresif dalam Pas, Husam sepatutnya cuba menghapuskan budaya sumpah sebegitu rupa memandangkan bekas pemimpin kumpulan itu yang kini menyertai Amanah sudah membuang jauh dan tidak mengiktiraf amalan itu?

Tidak adakah perkara lain, selain isteri sendiri yang boleh dijadikan sandaran jika ingin bersumpah berkaitan politik?

Kenapa tidak bersumpah seperti menyerahkan sebahagian harta atau kereta kepada masjid, rumah kebajikan atau seumpamanya yang jelas hanya membabitkan diri sendiri saja?

Sebelum ini, semua wakil rakyat Pas diwajibkan bersumpah baiah ketika bertanding dalam pilihanraya dengan di Kelantan paling menjadi perbualan kerana menjadikan syarat akan menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga sekiranya meninggalkan perjuangan parti itu atau menyertai parti lain.

Isu baiah ini secara umumnya telah diperkatakan secara meluas dalam masyarakat dan rata-rata menganggap ianya tidak wajar sama sekali dan seolah-olah menjadikan isteri masing-masing sebagai barang gadaian dalam perjuangan sedangkan mereka tidak terlibat atau tidak seharusnya terbeban memikul keputusan politik yang dibuat oleh suami.

Dalam isu perpecahan Pas dengan Amanah baru-baru ini, isu baiah ini timbul kembali berikutan beberapa pemimpin Pas tetap bertegas untuk menyertai Amanah sebagai wadah baru perjuangan mereka.

Pemimpin Pas di luar Kelantan yang berbaiah seperti haram menikmati gaji dan elaun jika meninggalkan parti itu telah pun menebusnya dengan antaranya memberi makan kepada anak-anak yatim dan sebagainya, manakala mereka di Kelantan yang terlibat dengan baiah talak tiga isteri pula, masing-masing tampil dengan mengatakan ianya tidak semestinya dipatuhi.

Antaranya dengan bersandarkan hujah bahawa baiah itu dilakukan tidak sepenuhnya dengan kerelaan, mengatakan ada toleransi boleh memilih yang lebih ringan atau kurang mudaratnya daripada talak tiga itu serta ada juga yang menyerahkannya kepada Allah yang lebih mengetahui untuk menentukan segala-galanya.

Kini isu baiah dalam Pas boleh dikatakan sudah berlalu. Yang kekal dengan Pas mungkin marah dan mengata macam-macam terhadap mereka yang melanggarnya untuk menyertai Amanah, tetapi yang ingin keluar Pas tetap juga berbuat demikian bersandarkan hujah dan keyakinan masing-masing.

Maka, apabila Husam membangkitkan kembali perkara itu dengan cuba menjadikan talak isteri sebagai gadaian sumpahnya, apakah beliau sebenarnya bertujuan mahu menghidupsegarkan kembali amalan tersebut?

Tidak bolehkah Husam, untuk meyakinkan rakyat mengenai dakwaan kerajaan campuran UMNO dengan Pas yang melibatkan Hadi Awang itu jika ia dibuat tanpa melibatkan sumpah, apatah lagi dengan menjadikan isteri sendiri sebagai tukar gantinya?

Tidak bolehkah sekadar ditampilkan bukti-bukti sahaja untuk menunjukkan benarnya sesuatu dakwaan itu?

Lebih dari itu, adakah tindakan terbaru Husam ini bermaksud mahu mencabar Hadi Awang agar berani bersumpah mentalak isterinya juga jika ingin menafikan dakwaan kerajaan campuran itu?

Tetapi yang tidak baiknya, mungkin ada pula yang berandaian, kalau baiah talak tiga terhadap isteri oleh beberapa pemimpin Pas sebelum ini pun boleh diengkari, apakah ini bermakna sumpah talak isteri oleh Husam ini juga boleh tidak bernilai apa-apa akhirnya?

Akhirnya, agama juga yang tercemar kerana sumpah politik itu. (SH 15/11/2015)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...