TERKINI :

Wednesday, November 11, 2015

Himpunan Baju Merah: ANAK dakwa Razali Ibrahim berbohong

Datuk-Razali-Ibrahim
PETALING JAYA : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mendakwa Datuk Razali Ibrahim berbohong di Dewan Rakyat berkaitan Himpunan Warga Felda sempena Hari Malaysia pada 16 September yang membabitkan sekitar 10,000 warga Felda di Masjid Negara.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, jawapan Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat itu mengenai penglibatan peneroka Felda amat meragukan.

“ANAK dimaklumkan bahawa sememangnya peneroka dan generasi kedua Felda terlibat dengan Himpunan Baju Merah.

“Bukti bergambar termasuk aduan anak peneroka sendiri mengenai pembabitan ibu bapa mereka dalam Himpunan Baju Merah adalah jelas,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mazlan berkata, Razali turut mengaku badan-badan dalam Felda iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) telah menampung kos berjumlah RM925,000 bagi pembiayaan pengangkutan bas dan makan minum peserta.

Katanya, perkara itu merupakan suatu pembaziran terhadap program yang bersifat perkauman seperti itu dan pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat berhubung perkata itu.

“Polis mesti menyiasat Datuk Razali, Pengarah Besar Felda dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Felda agar tiada mana mana pihak yang cuba mengeksploitasi peneroka untuk agenda yang bersifat perkauman dan membazirkan wang atas tujuan yang tidak berkaitan,” jelasnya.

Sebelum ini, Razali dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan Felda telah menyelaraskan program komuniti Felda iaitu Himpunan Warga Felda bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2015, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Dalam jawapan itu, Razali memaklumkan program tersebut telah disertai oleh semua NGO Felda termasuk Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), dan Kami Anak Felda (KAF).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...