TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Gambar dengan Jacel Kiram : Nurul Izzah 'kesal'

Selepas dikritik hebat, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Tampil menjelaskan perkara itu, Nurul Izzah menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel H Kiram dan tidak pernah berkenalan wanita tersebut.

"Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Malis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

"Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta," kata Naib Presiden PKR itu.

Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau.

"Saya berasa amat kesal atas hakikat ini," kata Nurul Izzah merujuk kepada perasaan ahli keluarga bekas anggota keselamatan yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

KENYATAAN MEDIA

Saya sedia maklum kegusaran yang timbul akibat gambar saya bersama Jacel Kiram pada 9 November 2015

Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram.

Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini.

Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada nusa dan bangsa, saya akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta.

Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya yang dianjur Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

21 November 2015

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...