TERKINI :

Friday, November 6, 2015

Dilema seorang Ahli Parlimen, Antara Perjuangan dan Prinsip Yang Tergadai

http://1.bp.blogspot.com/-SxaXCRhgmzk/VScwtvjB15I/AAAAAAABGX4/w5EAnzU395o/s1600/dewan%2Brakyat%2Bdalam%2Bparlimen.jpg
Ahli parlimen penyokong kerajaan semacam bimbang dan takut-takut untuk menghadiri persidangan parlimen yang akan dIadakan tidak lama lagi khususnya dalam keadaan negara menghadapi kemelut ekonomi dan politik yang amat getir di negara kita kini. Dalam keadaan ‘conscience’ yang tidak begitu jelas tentulah amat sukar bagi seseorang yang sentiasa mengatakan sebagai ‘pejuang bangsa Melayu dan agama Islam’ untuk hadir di parlimen untuk membahaskan sesuatu isu takut-taku dituduh seperti ayam jantan, ‘kokok yang berderai-derai sedangkan ekor bergelumang tahi’.

Tentulah ada asasnya mengapa mereka berperasaan demikian. Tentulah juga ada asasnya mengapa mereka rasa ‘bersalah’ pada diri, pengundi dan kepada bangsa dan agama mereka. Sudah sekian lama isu IMDB dan isu RM 2.6 billion ringgit milik peribadi DS Mohd Najib berlegar dan bermacam-macam ‘cerita’ di dengar mengenai dua isu ini. Dan tentulah sepanjang kedua-dua isu ini diperkatakan dan berlegar dikalangan masyarakat negara, tak mungkinlah para ahli parlimen kita belum lagi dapat membuat kesimpulan dan ‘keputusan’ tentang sahih tidaknya isu berkenaan. Tentulah para ahli parlimen sudah dapat membuat kesimpulan tentang kedua-dua isu yang amat penting kepada negara itu.

Yang menghairankan ialah bahawa ramai ahli parlimen kita mengamalkan ‘sindrom bisu’. Tidak ramai ahli parlimen kita yang berani tampil kehadapan memperkatakan tentang kedua-dua isu ini. Jikalau pun ada yang agak ‘berani’ tampil kehadapan ‘membela’ IMDB dan isu RM 2.6 billion, hujah yang dikemukakan oleh mereka agak longgar dan tidak meyakinkan. Tetapi sekurang-kurangnya golongan ini ‘berani’ tampil kehadapan walaupun hujah yang dikemukakan oleh mereka boleh dipersendakan sesiap yang membacanya. Tetapi sekurang-kurangnya mereka berani tanpil kehadapan.

Rakyat Malaysia mempersoalkan tentang ‘sindrom bisu’ yang diamalkan oleh wakil parlimen dari Barisan Nasional. Amat jarang kedengaran mereka menyuarakan pandangan dan pendapat mereka tentang kedua-dua isu yang penting ini. Kadang-kadang kelihatan mereka betul-betul dalam dilemma – semacam ‘ditelan mati emak dan diluah mati bapak’. Dan yang agak jelas kelihatan juga ialah tentang keengganan mereka itu semacam ada sesuatu ‘yang terlekat di kerongkong’. Pendek kata ahli parlimen kita (khususnya dari kalangan BN) betul-betul dalam keadaan serba salah.

Tetapi persoalannya mengapa mereka bersikap demikian? Bukankah tugas mereka sebagai wakil rakyat untuk memperkatakan sesuatu sebagai mewakil rakyat yang diwakili oleh mereka. Apakah mereka tidak dapat merasakan denyut nadi dan hati rakyat mereka yag diwakili oleh mereka. Apakah mereka masih tidak dapat merasakan ‘suhu panas’ yang berlegar dikalangan rakyat yang mereka mewakili itu yang berkaitan dengan isu IMDB dan Wang RM 2.6 billion milik peribadi DS Mohd Najib.

Mungkin Ahli Parlimen sudah dapat merasakan denyut nadi pengundi yang diwakili oleh mereka. Dengan sebab itulah agaknya ramai ahli parlimen sudah tidak berani bertemu dan berjumpa dengan rakyat kini takut mereka tidak dapat menjawab berbagai persolaan yang dikemukan oleh pengundi berkaitan dengan dua isu yang penting itu. Lantas ramai pemimpin UMNO peringkat bahagian dan cawangan terus menerus mendiamkan diri dan tidak ‘berani’ untuk bersemuka dengan rakyat yang dipimpin oleh mereka.

Pastinya yang paling menakutkan ahli parlimen BN ialah sekiranya diadakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri sebagaimana yang telah diura-urakan oleh pihak pembangkang. Suasana sedemikian betul-betul seperti kata peribahasa Melayu,’ ditelan mati emak diluah mati bapak’. Rakyat dan pengundi yang mengundi mereka sudah terang dan jelas pendirian mereka tentang kedua-dua isu penting ini. Rakyat sudah ‘diasuh’ dan diperjelaskan kedudukannya oleh media-media sosial yang tersebar dengan meluas. Walaupun berpuluh-puluh penafian dibuat oleh DS Mohd Najib sendiri dan ‘pembantu-pembantu’nya, namun ‘serangan’ dari media sosial semacam telah dapat menewaskan ‘pertahanan’ kerajaan itu.

Majoriti rakyat Malaysia merasakan ada sesuatu yang tidak kena mengenai isu IMDB dan isu wang RM 2.6 billion. Dengan berbagai tindakan ‘luar biasa’ yang dilakukan oleh pihak pemerintah memberikan gambaran kepada rakyat bahawa semacam ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh pihak kerajaan dari diketahui oleh rakyat terbanyak. Dan salah satu kesilapan pihak kerajaan dan juga pihak-pihak tertentu yang ‘cuba menegakkan benang basah’ dalam pentadbiran negara ialah anggapan salah mereka tentang rakyat Malaysia. Mungkin mereka merasakan bahawa rakyat Malaysia boleh diperbodohkan dengan penjelasan dan hujah-hujah mereka yang dangkal dan semacam mereka lupa bahawa ramai rakyat Malaysia di luar sana yang jauh lebih pandai dan pintar daripada mereka.

Para wakil rakyat yang akan ‘memasuki’ parlimen Malaysia tidak lama lagi harus betul-betul bersedia sebelum memulakan ‘pertempuran’. Dan jangan harus dilupakan langsung bahawa tugas anda semua adalah untuk kemajuan bangsa dan negara dan bukan untuk mempertahankan seseorang. Dan kepada ahli parlimen UMNO khususnya jangan dilupakan pesan datuk nenek kita bahawa UMNO adalah untuk membela bangsa, negara dan agama.

Para pemimpin UMNO….ingat!!....

abuhassanadam
15 Oktober 2015

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...