TERKINI :

Sunday, November 15, 2015

"Berbaik dengan Umno bukan makna kita tunduk"

KUALA TERENGGANU – Berbaik dengan lawan tidak bermakna tunduk kepada kehendak lawan.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah ketika menjelaskan dakwaan pihak tertentu berhubung Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mengambil pendekatan berbaik dengan Umno.

Beliau memberitahu, tidak salah sekiranya pemimpin tersebut berbaik dengan lawan politik kerana kaedah itu boleh menjadi satu uslub dakwah yang boleh melembutkan hati lawan menerima dakwah Islam, sekali gus menarik mereka menyertai gerakan Islam.

“Sebagaimana Salahuddin al-Ayyubi yang menjadi panglima perang ketika peperangan salib yang merupakan peperangan paling lama dalam sejarah. Dalam suasana berperang itu, ketua perang di pihak kristian iaitu Raja Richard gering, tetapi Salahuddin menyamar dan pergi memberi rawatan kepada raja tersebut tanpa diketahui raja tersebut. Selepas Raja Richard tahu mengenai perkara itu, dia berasa malu dan meminta tenteranya berundur.

“Musuh tetap musuh tetapi kita perlu berlaku adil. Sikap adil adalah lebih hampir kepada taqwa dan pendekatan yang diambil presiden pun begitu. Kalau kita tidak bertegur sapa, macam mana kita hendak dakwah mereka (Umno)... apabila kita (berbaik), mereka akan terpengaruh dengan uslub kita.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan orang Umno yang sudah tidak suka kepada Umno akan pergi kepada Pas. Kalau kita terus menunjukkan sikap permusuhan, macam mana mereka mahu pergi kepada Pas,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan uslub dakwah dilakukan Abdul Hadi itu tidak difahami sesetengah pihak, khususnya yang tidak berpuas hati dan sering mencari kesalahan pemimpin tertinggi Pas itu.

Sementara itu, mengulas dakwaan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang sekali lagi menyerang partinya apabila mendakwa Abdul Hadi mengaku pernah merancang bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor, beliau menjelaskan tidak timbul soal kerjasama dengan Umno.

Jelasnya, perkara itu telah pun ditegaskan dalam muktamar termasuk di Perak dan Selangor dan sehingga sekarang, Pas masih istiqamah dalam pakatan pembangkang bersama-sama PKR.

“Perkara yang ditimbulkan Husam satu perkara yang perlu dilihat oleh rakyat sebagai satu kenyataan yang tidak tepat, tidak betul. Kalau hendak betul, kena tanya presiden sendiri,” katanya.

Beliau turut hairan dengan sikap Husam yang lantang terhadap isu tersebut sedangkan perkara itu tidak timbul ketika Adun Salor menjadi pemimpin parti itu.

“Apabila sudah tiada jawatan dalam parti timbul isu begini, kenapa masa jawat jawatan dalam parti tidak timbul?” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...