TERKINI :

Tuesday, November 3, 2015

Debat apanamanya jika tiada soaljawab dan tanpa penonton?


 Shahbudin Husin, 

Ketika debat antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkaitan syarikat sarat hutang itu hampir menjadi kenyataan, semua pihak seharusnya lebih memberi sokongan agar ianya benar-benar menjadi realiti akhirnya.

Tetapi tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak yang meletakkan syarat tertentu mengenai debat itu tidak lebih seperti suatu percubaan untuk mengelakkannya daripada menjadi kenyataan saja layaknya.

Daripada peranan beliau sepatutnya hanya memastikan RTM bersedia menyiarkannya secara langsung melalui televisyen saja, kini Salleh turut menyatakan debat itu akan diadakan tanpa soal jawab serta tanpa penonton.

Katanya, kedua-dua belah pihak hanya dibenarkan membentangkan hujah dan fakta berkaitan 1MDB semasa sessi debat diadakan, tetapi tiada soal jawab dibenarkan.

Salleh yang dilantik sebagai menteri kerana gigih mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir juga berkata, tiada penonton akan dijemput semasa debat, sebaliknya akan diadakan di sebuah studio tertutup, bagi menjamin suasana kondusif dalam membincangkan isu yang diperdebatkan.

Kenapa mesti tiada soal jawab dan tanpa penonton?

Seharusnya selepas sessi pertama di mana Tony dan Arul perlu membentangkan hujah masing-masing berkaitan 1MDB, ia mesti diikuti dengan sessi kedua atau seterusnya yang memerlukan mereka menjawab pertanyaan dan kemusykilan masing-masing.

Ini kerana berdasarkan pembentangan fakta yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak, sudah tentu ada persoalan berbangkit atau susulan yang perlu ditanyakan serta memerlukan jawapan.

Namun, jika hanya diberi ruang membentangkan fakta dan tiada soal jawab, apakah maknanya debat itu diadakan? Lebih tidak bermakna untuk ianya disiarkan secara langsung?

Lagi pun, ini bukanlah debat budak-budak sekolah yang perlu takut dengan sessi soal jawab, sebaliknya ia adalah melibatkan orang dewasa, dikenali ramai dan ada nama dalam masyarakat.

Biarkanlah mereka berhujah dan bersoal jawab sebebas-bebasnya untuk rakyat yang menontonya membuat penilaian.

Mencadangkan debat Tony dengan Arul hanya di sebuah studio kosong tanpa penonton tetapi disiarkan secara langsung melalui televisyen juga kelihatan pelik jadinya.

Namanya pun debat, maka ia mestilah ada penonton dan tepuk sorak hadirin memeriahkannya, lebih-lebih lagi jika disiarkan secara langsung.

Jika sekadar mahu diadakan tanpa penonton, maka lebih lebih baik ia tidak dibuat secara langsung dan bukan juga dinamakan sebagai debat.

Tanpa penonton, ia bukan debat namanya dan kenapa Salleh begitu bimbang dengan kehadiran penonton?

Selain kehadiran penonton boleh dibuat secara selektif dengan hanya melibatkan kumpulan berkualiti yang tertentu yang dipersetujui bersama antara kedua-belah pendebat, debat juga boleh dibuat hanya dengan dihadiri oleh Ahli-Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negara saja.

Sebagai kelompok pembuat dasar, menggubal serta meluluskan undang-undang negara, tentu saja kehadiran Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara dalam debat yang melibatkan kemelut 1MDB itu begitu bermanfaat buat mereka. 

Walaupun debat ini bukan untuk mencari pemenang, tetapi lebih bertujuan kepada pencerahan, mengadakannya tanpa soal jawab dan di studio kosong tetap tidak memberi makna apa-apa. (SH 02/11/2015).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...