TERKINI :

Saturday, November 7, 2015

Dakwaan tanpa bukti, bertaubatlah Husam...

SHAH ALAM - "‎Banyak dakwaan yang dinyatakan oleh Adun Salor, Datuk Husam Musa  tidak dapat dibuktikan," itu respons Naib Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berhubung dakwaan terbaharu bekas Exco Kelantan itu.

Terkini adalah dakwaan Husam terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‎berkaitan rancangan Abdul Hadi untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Khairil memberi contoh dakwaan Husam berkaitan Pemuda Pas yang kononnya menerima RM300,000 daripada tiga Exco Kelantan ketika menganjurkan Himpunan Fastaqim di Kelantan baru-baru ini. yang ternyata hanya dakwaan semata-mata.

"Husam selalu memetik sumber sekunder ketika membuat dakwaan, kalau diperhatikan tulisan Husam akan menulis (katanya) iaitu merujuk kepada orang kedua bukan dirinya sendiri.

"Dan semakan kami secara terperinci terhadap dakwaan Husam hanyalah dakwaan semata-mata, kerana tiada RM300,000 di dalam akaun yang dimaksudkan, itu saya sendiri yang semak," katanya kepada Sinar Online.

Oleh itu, Khairil mencabar Husam untuk melampirkan segala bukti dakwaan Husam terhadap Pas.

"Dia (Husam) ada bukti, bawa bukti, kami (Pemuda Pas) sanggup buat laporan kepada Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya Husam tampil dengan bukti di setiap dakwaanya.

"Sekiranya tidak, kami mengandaikan dakwaan Husam hanyalah dakwaan beliau semata-mata," katanya.

Ketika menyentuh mengenai dakwaan Husam terhadap Presiden Pas, Khairil berkata, Pemuda Pas sudah dimaklumkan bahawa tiada kerjasama yang dijalankan oleh Pas Selangor dan pihak Umno.

"Pemuda tegas bahawa tiada sebarang hubungan dengan Umno Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Khairil menyeru Husam agar bertaubat sekiranya tidak dapat membawa bukti disetiap dakwaannya.

"Berhati-hati apabila bercakap, jangan hanya membuat dakwaan. Kalau tidak bertaubatlah," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...