TERKINI :

Sunday, November 15, 2015

Cuti pegawai, anggota bomba Kedah dibekukan

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah membekukan cuti semua pegawai dan kakitangannya di seluruh negeri sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarahnya, Ahmad Shahabuddin berkata, tindakan itu diambil setelah melihat perkembangan keadaan cuaca sejak kebelakangan ini tidak menentu dan hujan lebat di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, pertimbangan masih tetap diberikan kepada mana-mana 780 kakitangan yang memohon cuti kecemasan seperti cuti sakit.

"Tempoh cuti itu bermula pertengahan bulan lalu dan dijangka berakhir bulan hadapan selaras dengan saranan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri Program Sehari Bersama JBPM di pekarangan Surau Darussyifa Taman Mutiara, Jalan Sultanah, di sini, hari ini.

Program dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Beliau berkata, peralatan yang akan digunakan dalam sebarang operasi ketika musim banjir sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

"Terdapat 48 bot penyelamat boleh digunakan jika banjir berlaku di mana-mana kawasan di negeri ini.

"Bagaimanapun fokus utama tetap diberikan kepada daerah kerap dilanda banjir seperti Sik, Baling dan Pokok Sena," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...