TERKINI :

Wednesday, November 18, 2015

Corat-Coret Berkenaan Bajet Negeri Kedah 2016

SEDIKIT ULASAN BAJET KEDAH 2016


1) Seperti biasa, ucapan bajet memperihalkan pembangunan negeri yang sangat hebat. Apapun ianya cuma satu strategi mengaburi mata rakyat. Senarai kehebatan tersebut semuanya projek Kerajaan Persekutuan, bukannya Negeri. Antaranya ialah Maktab Rendah Sains Mara di Sik, Sekolah berasrama penuh di Pendang, Hospital Daerah Pendang, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Muda, Sungai Anak Bukit dan Sungai Kerian.

2) Dalam Bajet 2015 tahun lalu, Kerajaan Negeri mensasarkan unjuran hasil sebanyak RM743.65 juta. Hasil yang berjaya dikutip sehingga November 2015 hanyalah RM344.09; kira-kira 46 peratus sahaja.

3) Bagi tanah yang diluluskan kepada Kerajaan Persekutuan, RM68.2 juta belum dapat dikutip. Bayaran premium tanah yang tidak dapat dikutip dari pemaju berjumlah RM145.32 juta. Bayaran premium dari Felcra Berhad juga gagal dikutip berjumlah RM19 juta. Nampaknya banyak yang gagal.

4) Mungkin kerana pengalaman kegagalan tersebut, sasaran hasil untuk 2016 turun; dari RM743.65 juta kepada RM721.62 juta. Pesimis sungguh kerajaan BN Kedah, sepatutnya hasil semakin meningkat tetapi berlaku sebaliknya.

5) Satu berita yang sangat malang bagi rakyat negeri ini ialah pengumuman kenaikan cukai tanah dalam ucapan Bajet 2016. Ia berdasarkan semakan cukai tanah yang dibuat pada 2015. Kali terakhir semakan cukai tanah dibuat sebelum itu ialah pada 2005. Ekoran itu kenaikan cukai tanah mulai 1 Januari 2006.

6) PAS bersama beberapa NGO membantah kenaikan pada masa itu tetapi tidak berjaya. Ditakdirkan PAS merampas Kedah dari BN pada PRU2008. Maka kerajaan Pakatan Rakyat memberi rebat sekitar 20 peratus bagi mengurangkan beban kenaikan cukai tanah. Akibatnya Kerajaan Negeri kehilangan RM50 juta hasil negeri setahun.

7) Kadar kenaikan yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Mukhriz kali ini agak unik. Kononnya ia bertumpu kepada orang kaya sahaja, manakala golongan berpendapatan rendah tidak terbeban. Contohnya ialah penggunaan satu kadar cukai dan satu kadar minima untuk lot kediaman berdasarkan keluasan tanah, bukan lagi berdasarkan syarat nyata kediaman iaitu teres, berkembar atau banglo. Itu rupanya penilaian kaya atau tidak kaya seseorang.

8) Dengan kenaikan cukai tanah akan memberi pertambahan hasil sebanyak RM94 juta setahun. Hasil cukai sewa tanah berulang patut dikutip akan meningkat kepada RM225 juta setahun berbanding kutipan mengikut kadar sedia ada berjumlah RM131 juta setahun. Hasil negeri dijangka meningkat, tetapi ke mana bakal mengalir hasil negeri yang banyak itu menjadi persoalan yang patut diketahui dari sekarang.

9) Persoalan yang tiada kena mengena dengan Bajet 2016 Kedah ialah Pemutuan Sebenar Padi berasaskan penyeragaman harga padi pada RM1200/tan metrik. Itu bajet Kerajaan Pusat tapi Mukhriz ‘tumpang tui’. Pusat juga meningkatkan kadar Skim Subsidi Harga Padi kepada RM300/tan metrik. Kononnya, menurut Mukhriz, akan memberi manfaat kepada 82,800 pesawah di seluruh negeri Kedah.

10) Kaedah pemutuan sebenar menjadi persoalan yang menarik dibincangkan di kalangan pesawah. Sebaik sahaja pengumuman peningkatan kadar subsidi diumum, kebanyakan pengilang sudah mengambilkira untuk menaikkan kadar potongan hasil padi. Mereka juga ingin mendapat manfaat dari kenaikan kecil subsidi tersebut untuk menyerap kos pengurusan yang semakin meningkat dari hari ke hari. Tidak berbangkit isu pemutuan sebenar.

11) Potongan selama ini tidak piawai. Sewaktu padi di sekitar Selangor dipotong 18 peratus, di Kedah potongannya 22 peratus. Padi di Selangor didakwa lebih berkualiti. Terkini, ekoran peningkatan subsidi, potongan di Selangor meningkat sehingga 22 peratus. Biasanya, potongan di Kedah akan meningkat sehingga 26 peratus. Malang nasib pesawah Kedah kerana kenaikan subsidi tidak memberi apa-apa makna.

12) Jika pemutuan sebenar dilakukan, adakah ia menguntungkan pesawah? Belum pasti. Ia boleh jadi lebih merugikan. Kualiti padi di negara ini lebih terkebelakang dibandingkan dengan kualiti di beberapa negara luar seperti Taiwan dan Korea. Begitu juga dari aspek teknologi pengilangan padi, kita ketinggalan.

13) Di Kedah, hasil bersih beras bermula dari padi masuk kilang – paling tinggi 59 peratus. Ada teknologi Korea, mai buat pameran di Malaysia – hasil beras mereka sampai 66 peratus. Kerajaan kena bagi galakan untuk rakyat belajar segala teknologi baru, bukan pergi melancong untuk main golf atau buat kursus kahwin di luar negeri.

14) Bajet Kedah 2016 cuma meniru roh kerajaan Pusat. Najib tambah hasil negara melalui GST. Mukhriz tambah hasil negeri melalui kenaikan cukai tanah. Kedua-duanya bijak. Mangsanya rakyat.

-Zulya

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...