TERKINI :

Sunday, November 15, 2015

Bukti dakwaan: Husam sanggup sumpah talak isteri

KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan beliau sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan dakwaan terdapat usaha untuk menyatukan Pas dengan Umno adalah benar.

Menjawab soalan ketika majlis 'Demo Tanya, Ambo Jawab', di Kota Bharu malam tadi, Husam berkata, usaha itu bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008 apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun ujar Adun Salor itu, usaha bagi membentuk kerajaan hasil daripada gabungan dua parti itu gagal berikutan kerusi yang diperolehi tidak mencukupi.

“Setiap kali dekat PRU,  ramai mari ke rumah Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)  pujuk supaya baik dengan Umno, tetapi Tok Guru cakap kita tidak boleh baik dengan Umno, kata-kata itu masuk dalam kepala saya, sampai bila pun Umno kita tidak boleh percaya.

“Usaha  berbaik dengan Umno  berlaku pada  pilihan raya  2008, malam itu ada mesyuarat lajnah pusat pejabat Pas, tetiba nak berunding Umno, hancur harapan rakyat,  masa tu DAP tak jahat, PKR tak jahat lagi, jadi  mesyuarat itu berlaku  dua hari selepas PRU13, (bekas AJK Pas ) Khalid samad pergi sebagai ‘nyadar’ (elak terperangkap), kalau tak mungkin mereka sudah berdakap (berpeluk)," jelas Husam.

Terdahulu dalam majlis itu, seorang penyokong Pakatan Rakyat mahu Husam memberi bukti jelas kepada ahli tentang dakwaan beliau terhadap usaha  untuk menyatukan Pas dan Umno yang menjadi spekulasi berpanjangan.

Dakwa Husam, ketika rundingan itu berlangsung selama lima belas minit, beliau ada menghantar mesej kepada bekas Setiusaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa bertanyakan pertemuan itu.

Katanya, beliau mendapat maklumat mengenai rundingan itu dari pekerja hotel yang tidak mahu kedua-dua parti itu bergabung.

“Saya sebut nama Datuk Mustafa supaya dia boleh jadi saksi, mungkin esok dia nafi, saya tanya mereka rundingan apa yang dibuat? Tetapi adakah Pas dan Umno tidak boleh berbaik? Boleh dengan dasar terbuka (tetapi) bukan kerana fulus (duit)," kata Husam.

Husam sebelum ini turut mendedahkan bahawa Abdul Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor dan menuntut presidennya itu menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...