TERKINI :

Friday, November 6, 2015

Benarkah bila gaji YB sudah naik, pintu rumah akan terbuka?


KUALA LUMPUR - Adun Salor, Datuk Husam Musa ‎hari ini menjawab kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkaitan isu kenaikan gaji wakil rakyat di Kelantan yang dipertikaikannya baru-baru ini.

Husam dalam responnya mempersoalkan kenyataan Idris sejauh mana kebenaran gaji wakil rakyat yang akan dinaikkan itu akan diagihkan untuk membantu rakyat.

"Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat' - itu logik YB Bukit Gantang.

"Ya kah begitu? Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci. Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?," kata Husam.

Idris semalam dalam reaksinya kepada kenyataan Husam yang menyindir kerajaan Kelantan berhubung isu kenaikan elaun wakil rakyat berkata, kerajaan negeri semestinya sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan demikian.

Katanya, adalah salah untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri Kelantan mementingkan diri dan tidak memikirkan mengenai kemaslahatan rakyat Kelantan sebelum memuktamadkan keputusan tersebut.

"Apa yang wakil rakyat dapat itu ‎untuk perbelanjaan rakyat jugak.

"Wang itu untuk rakyat sebagai contoh pegawai kerajaan, gaji itu mereka dapat semua. Kita (ahli parlimen dan Adun) ini memang untuk diberi kepada rakyat. Iaitu untuk membantu rakyat yang susah dan sebagainya," katanya.

Namun tegas Husam, hakikatnya gaji wakil rakyat di Kelantan masih boleh disemak kemudian dan bukannya dalam keadaan kerajaan negeri gagal melunaskan beberapa tunggakan.

"Tunggakan guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) belum berbayar sejak 16 bulan. Bayaran pencarum Kifalah juga tertunggak.

"Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen. Dikhabarkan, mereka akan dibayar setakat sepuluh bulan sahaja bagi tahun ini.

"Masih ada masa gaji Adun disemak. Bukan tak boleh semak.Bukan Mac depan, Dun Kelantan akan bersidang lagi," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...