TERKINI :

Sunday, November 29, 2015

Bayi tiga bulan paling muda berkhatan

Bayi tiga bulan paling muda berkhatan

SUNGAI PETANI – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan mencuri tumpuan pada majlis berkhatan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Peruda kerana menjadi peserta khatan paling muda.

Mohd Abu Dzar dikhatankan bersama 14 peserta lain di Masjid Taman Peruda, semalam.

Ibu bayi, Aisya Osman, 36, berkata, dia dan suami mengkhatankan anak bongsu itu kerana menganggap penjagaannya akan menjadi lebih mudah.

Menurutnya, seorang lagi anak lelaki, Mohd Hakim, 9, sudahpun dikhatankan ketika berusia enam tahun namun kali ini mereka mempercepatkan proses berkhatan bagi anak bongsunya itu.

“Kali ini, kami mengambil keputusan untuk mengkhatankan anak lebih awal sempena mengambil peluang penganjuran ini selain menyifatkan penjagaan bayi berkhatan rasanya lebih mudah berbanding anak yang sudah berusia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha KRT, Mohd Karim Ibrahim berkata, bayi itu didaftarkan pada di saat-saat akhir untuk turut serta dalam majlis berkhatan berkenaan.

Menurutnya, sebagai penganjur, pihaknya tiada halangan sebaliknya bergantung kepada kebenaran ibu bapa.

“Sepanjang penganjuran majlis itu setiap tahun, perkara ini (peserta berusia tiga bulan) jarang sekali berlaku dan tahun ini keluarga bersetuju mengkhatankan anak mereka selain dipersetujui doktor bertugas,” katanya.

Mohd Karim berkata, atas dasar kebajikan, setiap peserta dikenakan bayaran RM50 selebihnya ditanggung penganjur manakala tujuh peserta dari Rohingya pula menjalaninya secara percuma.

Majlis itu turut mendapat kerjasama pihak masjid, Surau Al-Mujahidin dan Persatuan Perketap.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...