TERKINI :

Tuesday, November 24, 2015

Bantahan PAS terhaap kenaikan mendadak CUKAI TANAH di KEDAH

BANTAHAN TERHADAP KENAIKAN MENDADAK CUKAI TANAH


1. PAS Kedah merasakan kenaikan cukai tanah yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar dalam Ucapan Bajet 2016 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini sebagai keterlaluan dan tidak kena pada masanya.

2. Sekalipun Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membuat semakan dan menyelaras semula cukai sewa tanah berkala selepas tempoh sepuluh tahun; tetapi ia tidak bermakna kenaikan menjadi pilihan wajib, apatah lagi kenaikan berlaku secara mendadak.

3. Kenaikan cukai sewa tanah keseluruhan, secara purata adalah sebanyak 72 peratus. Kenaikan itu sangat tinggi dan ianya pasti akan membebankan rakyat. Sepatutnya kenaikan tidak terlalu tinggi dan ia dibuat secara bertahap memandangkan rakyat kini terpaksa menanggung pelbagai kenaikan dalam perbelanjaan harian ekoran pelaksanaan cukai GST.

4. Kenaikan yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2016 itu juga tidak kena pada masanya memandangkan situasi meruncing rakyat yang tertekan dengan pertambahan kos sara hidup dan kegawatan ekonomi. Keadaan bakal menjadi lebih parah apabila TPPA menjadi kenyataan nanti.

5. Apa yang lebih mendera perasaan rakyat ialah kenaikan berlaku ketika pelbagai skandal kewangan melanda negara; seperti beberapa isu berkaitan 1MDB, derma politik RM2.6 bilion dan pembaziran wang YAPEIM. Rakyat merasakan, hanya mereka yang terpaksa berkorban sedangkan para pemimpin kerajaan yang dikaitkan dengan dengan onar, terkecuali dari bebanan.

6. Sepatutnya Kerajaan Negeri Kedah memikirkan alternatif lain untuk menambah hasil negeri bersesuaian dengan dakwaan bahawa mereka adalah yang terbaik seperti yang dicanangkan pada PRU13 lalu. Bukannya hanya tahu menyeluk poket rakyat untuk menambah pendapatan negeri.

7. Dengan itu PAS Kedah mendesak supaya kenaikan kadar cukai sewa tanah mulai 1 Januari 2016 ditangguhkan ke satu waktu yang sesuai serta dilaksanakan secara bertahap agar tidak membebankan rakyat.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
23 November 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...