TERKINI :

Thursday, November 5, 2015

Bakar Din dilantik SUK Kedah yang baharu

Bakar Din dilantik SUK Kedah yang baharu 
 
dato bakarALOR SETAR - Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Bakar Din dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah baharu berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Mohd Puat Mohd Ali yang bersara.

Manakala Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Sepiah Isa pula dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri menggantikan Bakar.

Watikah pelantikan mereka disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Hadir sama dua anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah serta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bakar, 58, yang dilahirkan di Kampung Dulang Besar, Yan pernah memegang jawatan Penolong SUK (Tempatan), Penolong SUK (Kewangan), Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen), Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Setar, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pendang.

Seterusnya sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Pengurus Besar Yayasan Islam Kedah, Pegawai Daerah Sik dan Langkawi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar, Pengarah Upen dan pegawai daerah Kota Setar.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya pada 1980 dan Ijazah Sarjana (Polisi Sains) dan Universiti Saitama, Tokyo pada 1989.

Pernah terlibat dalam beberapa misi pelaburan kerajaan negeri seperti Jepun, Taiwan, Wilayah Sumatera Utara, Jerman, Itali serta beberapa negara di Timur Tengah.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Azuyah Hassan pada 1980 dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan.

Manakala Sepiah, 57, berasal dari Kampung Bukit, Kubang Pasu memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir Kedah pada 1 Oktober 1981 sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan(Perkhidmatan) II, selain Timbalan Pengurus Besar Lada, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Penolong Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Setar, pegawai daerah Bandar Baharu dan Kulim.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1981 dan Ijazah Sarjana Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2008.

Hasil perkongsian hidup dengan Datuk Ahmad Ali, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Sepanjang perkhidmatan sebagai pegawai tadbir negeri, beliau terlibat secara langsung dalam membangunkan projek seperti Menara Alor Setar, pembukaan kawasan industri Bukit Kayu Hitam, projek ternakan udang Kerpan, pembangunan saluran paip gas Petronas dari Bandar Baharu ke Bukit Kayu Hitam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...