TERKINI :

Monday, November 2, 2015

Azmin kena dengar desakan DAP Selangor - Johari Abdul

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali perlu mendengar desakan perwakilan DAP yang memberi kata dua kepada Timbalan Presiden PKR itu.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, meskipun desakan itu bukan sesuatu yang perlu dirisaukan namun ia tetap perlu diambil peduli.

"Jadi, secara terbuka, menteri besar kena dengar. Sudah tentu ada latar belakangnya, kenapa perwakilan DAP ini menyuarakan begitu. Adakah ianya secara kelompok ataupun dia melihat secara dasar...secara total.

"Saya rasa ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan tapi sudah tentu kita kena dengar. Mungkin ada meritnya. Namun begitu, sebagai pemimpin yang berjiwa besar, kita harus dengar," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dilaporkan menggesa agar pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Azmin untuk memecat wakil rakyat Pas atau DAP keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Mengulas lanjut, Johari berkata, mana-mana suara perwakilan yang diutarakan, ada yang diambil serius dan dipertimbangkan oleh parti.

"Itu adalah ucapan salah seorang daripada perwakilan. Di mana-mana perwakilan parti, Umno ke PKR ke Pas ke, ada juga yang berbicara secara ekstrim. Jadi maknanya, perwakilan boleh bercakap dan kadang-kadang kita ambil secara serius dan kadang-kadang dengar dan kita akan pertimbangkan.

"Ini adalah luahan orang-orang tertentu yang mungkin dia bawa daripada akar umbi...ada sekelompok manusia yang rasa begitu," katanya.

Menyentuh soal ketegangan hubungan Pas dengan DAP yang tidak reda, Johari berkata, PKR masih menjalankan tanggungjawab sebagai orang tengah untuk memulihkan hubungan dua rakan komponennya itu.

"(Jadi orang tengah) itu masih berlaku. Malah dalam dua, tiga minggu yang lalu, Presiden PKR (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pergi berjumpa dengan pimpinan Pas di ibu pejabat Pas walaupun Presiden Pas (Abdul Hadi) tidak ada, tetapi Presiden PKR secara penuh rendah diri, pergi ke 'rumah' mereka.

"Itu menunjukkan bahawa Presiden PKR mahu memainkan peranan itu dan bersedia untuk terus memainkan peranan itu. Malah terbukti kita berjiwa besar. Sama ada ianya akan membuahkan hasil, itu masa depanlah," katanya.

Beliau juga menafikan PKR meminggirkan Pas dan menyifatkan ia tidak harus berlaku.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...