TERKINI :

Thursday, November 5, 2015

Arul tidak mahu debat 1MDB dengan Rafizi

Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy enggan berdebat mengenai syarikat milik kerajaan itu dengan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2015.
Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy enggan berdebat mengenai syarikat milik kerajaan itu dengan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2015.

Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy enggan berdepan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dalam perdebatan secara langsung membincangkan mengenai syarikat milik kerajaan itu susulan keputusan speaker Dewan Rakyat melarang beliau menjadi saksi dalam siasatan Parlimen ke atas 1MDB, jika menyertai debat itu.

Arul sebaliknya berkata, beliau akan menjawab soalan mengenai firma itu di depan "pihak berkuasa yang sah" seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Speaker adalah pihak yang memegang kuasa muktamad berhubung semua perkara berkaitan Parlimen.

"Beliau (speaker) membuat keputusan mengenai tanggungjawab saya sebagai saksi dalam siasatan PAC dan sebarang perdebatan hanya boleh berlaku selepas pendengaran PAC," kata Arul dalam satu kenyataan hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak cadangan perdebatan secara langsung antara Arul dan ahli PAC Tony Pua kerana ia akan menjejaskan integriti jawatankuasa Parlimen itu.

Pandikar berkata, Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, perlu meletak jawatan dalam PAC jika mahu berdebat, manakala Arul, yang juga pengarah eksekutif kumpulan 1MDB, tidak boleh mengambil bahagian dalam perdebatan itu kerana beliau salah seorang saksi utama dalam siasatan PAC ke atas firma itu.

Rafizi dinamakan sebagai pengganti Pua hari ini oleh pakatan pembangkang Pakatan Harapan, yang menegaskan debat mengenai 1MDB harus diadakan dengan disertai penonton dan disiarkan secara langsung di televisyen.

Penyiar kebangsaan Radio Televisyen Malaysia sebelum ini menawarkan untuk menjadi tuan rumah debat secara langsung itu tetapi menteri yang bertanggungjawab kini menarik balik tawaran itu selepas syarat yang diletakkan Pandikar. – 5 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/arul-tidak-mahu-debat-1mdb-dengan-rafizi#sthash.r0eb4DP3.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...