TERKINI :

Thursday, November 19, 2015

Apabila menteri gila saman, sampai kes telur penyu ajapun..itupun dia nak saman..!!

TELUR PENYU SAJA PUN, KENAPA BERANG SAMPAI MAHU SAMAN-MENYAMAN?

 
Jika saman Najib Razak terhadap akhbar perniagaan The Wall Street Journal atau WSJ yang dijanjikan pada hari Selasa tidak diketahui bila akan menjadi kenyataan, nampaknya hari ini, Khamis boleh dianggap hari saman-menyaman bagi dua orang menteri.

Pertama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom akhirnya menunaikan janjinya untuk mengemukakan saman terhadap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan atau NOW, Akmal Nasir berhubung dakwaan penyalahgunaan dana anak-anak yatim YaPEIM untuk lawatannya ke Amerika Syarikat.

Beliau mengemukakan saman fitnah dan menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta.

Yang kedua, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob yang berang dengan penyebaran gambar-gambarnya bersama  hidangan telur penyu di media sosial, mengancam unntuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Ketika sekeping gambarnya  bersama hidangan telur penyu tersebar luas minggu lalu, beliau menafikan turut memakan hidangan terlarang itu atas alasan kandungan kolesterolnya yang tinggi.

Katanya, beliau bukan saja menjauhi makanan yang mengandungi kolesterol yang tinggi, bahkan sentiasa memakan ubat penahannya berikutan kandungan bahan itu sudah sedia tinggi dalam badannya.

Selain itu, Ismal Sabri yang meletakkan beban menyediakan telur penyu tersebut di pihak penganjur yang meraikannya dan bukan atas permintaannya, turut mengatakan beliau tidak menyedari mengenai undang-undang larangan berkaitannya.

Bagaimanapun ketika isu tersebut hampir dilupakan dan tidak lagi diperkatakan, Pusat Lapangan Danau Girang, sebuah kemudahan penyelidikan dan latihan di Sabah tiba-tiba memuat-naik empat keping gambar Ismail Sabri dalam majlis makan malam di Sandakan itu dengan keterangan yang berbunyi, "merujuk kepada empat keping gambar yang dimuat-turun dari laman Facebook Walai Penyu Resort Libaran dan dikongsi oleh "Deadturtle Sabah", nampaknya telur penyu sebenarnya dimakan oleh orang yang sama menafikannya sebelum ini."

Jika sebelumnya  Ismail Sabri menafikan memakan telur penyu kerana kandungan kolesterolnya yang tinggi, tetapi dalam satu daripada empat keping gambar yang disiarkan itu jelas kelihatan kulit telur penyu terdapat dalam pinggannya.

Gambar lain pula memperlihatkan sebuah pinggan berisi telur penyu di hadapannya yang menunjukkan isinya hanya tinggal separuh saja lagi, satu kemungkinan bahawa separuh lagi sudah dimakan.

Yang pelik dan hairannya, kenapa Ismail Sabri tidak menafikan buat kali kedua bahawa beliau benar-benar tidak memakan telur penyu itu, sebaliknya berang sambil melontarkan ancaman mahu menyaman pihak yang menyebarkan gambar-gambar itu?

Bukankah isu ini mudah saja, mengaku atau nafikan saja?
Kalau benar tidak memakannya, nafikan saja. Jika benar-benar  tidak mengambil telur penyu itu, kenapa perlu takut untuk menafikan walau sehingga seribu kali  asakan sekali pun.

Tetapi, jika tersilap kerana memakannya pula, mungkin kerana teruja berikutan telur penyu tidak kedapatan sama ada di Kuala Lumpur atau Bera atau barangkali kerana tidak pernah memakannya sebelum ini, mohonlah maaf secara terbuka.

Apalah yang susah sangat nak memohon maaf. Bukankah memohon maaf dan mengaku kesilapan suatu sifat terpuji?

Walaupun kesalahan mengumpul, menjual atau memakan telur penyu di Sabah boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM50 ribu atau kedua-duanya, Ismail Sabri mungkin boleh dikecualikan atau diringankan hukuman jika benar-benar tidak mengetahui atau menyedari mengenai kesalahan yang dilakukannya.

Tambahan pula, beliau cuma dihidangkan makanan terlarang itu oleh pihak penganjur dan bukan membeli atau meminta disediakan telur penyu untuk hidangannya. Tentulah ada toleransi dan budi bicara pihak berkuasa dalam hal ini.

Yang mustahak, berlaku jujurlah kerana itulah antara nilai terpenting dalam kehidupan seorang pemimpin.

Kenapa perlu berang dan ugut mahu saman-menyaman? Jika diteruskan juga mahu menyaman, bukankah lebih memalukan jika kemudian didapati pula ada gambar lain menunjukkan beliau sedang menyuap telur penyu itu ke mulutnya?

Lagi pun, hanya menjadi bahan ketawa dan lawak jenaka ramai saja jika seorang menteri terpaksa turun naik mahkamah semata-mata kerana sebiji telur penyu yang bukan enak sangat lazatnya. (SH 10/11/15)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...