TERKINI :

Saturday, November 14, 2015

Apa pilihan Husam, harum manis atau kelapa muda?

Husam Musa

SEJAK kebelakangan ini, nama bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semakin panas dek kerana ucapan ceramahnya pada 6 November lalu yang secara terang-terangan mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ekoran kelantangannya itu menyebabkan beliau ditunjukkan jalan keluar oleh Ketua Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang secara jelas tidak mahu gunting dalam lipatan menjejaskan parti Islam itu.

Sebelum ini Husam agak menyendiri selepas mengalami kekalahan dalam pemilihan Pas, namun rupanya beliau bukan membawa diri, tetapi mula menjadi pemerhati untuk melihat sendiri perjalanan Pas selepas perginya Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.

Munculnya Husam di kala Pas kini disisihkan oleh parti pembangkang lain menyebabkan ramai yang tertanya sama ada Husam akan mengikut langkah sahabat perjuangan yang menyertai parti Amanah.

Namun jangkaan ramai pihak yang beranggapan bahawa Husam akan membelakangi Pas tidak berlaku apabila beliau pada Oktober lalu menegaskan tetap setia dengan perjuangan Pas.

Susulan itu juga menyebabkan ramai pihak mula curiga dengan tindakan Husam seolah-olah sengaja mahu memburukkan parti sendiri.

Tindakan Husam itu membuatkan beliau kini dicop sebagai pengkhianat, parasit, perosak, tidak walak, dan pelbagai lagi ungkapan yang tidak enak didengar.

Ternyata kini rakyat tertanya-tanya adakah pemimpin Pas terlalu eksklusif sehingga langsung tidak boleh dijentik.

Serangan bertubi-tubi dari pemimpin parti sendiri membuatkan Husam tidak berdiam diri sebaliknya mempersoalkan kembali Pas yang berubah atau beliau yang berubah?

Bagaimanapun suhu termometer itu dikatakan akan berakhir pada Jumaat malam apabila Husam akan menjawab segala tohmahan status beliau sama ada akan bersama Pas atau sebaliknya dalam majlis dialog 'Demo Tanya Ambo Jawab' pada 13 November ini di Dewan Kelab Suara Muda, Kota Bharu sekitar jam 9 malam.

Sekiranya Husam kekal istiqamah bersama Pas, adakah beliau akan tetap dilabel pengkhianat? Dan jika beliau keluar Pas, bersediakah Husam untuk menyertai mana-mana parti atau terus memilih Amanah sebagai tapak perjuangan baharu untuknya.

Namun, adakah Husam akan pasrah sahaja dengan apa sahaja keputusan yang diambil Pas sama ada untuk memecat atau mengekalkan beliau dalam parti dan meletakkan Pas dalam keadaan serba salah?

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...