TERKINI :

Saturday, November 21, 2015

Alor Setar - Pelajar alami pendarahan usus dibelasah senior

ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan satu mengalami pendarahan pada usus dan buah pinggang selepas dibelasah sekumpulan pelajar senior sekolah agama rakyat di Pokok Sena awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu Mohd Irfan Azizan, 13, berasal dari Kampung Permatang Kaka, Megat Dewa, Kodiang dibelasah lima pelajar senior di luar bilik asrama sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa dipukul kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik rakan suspek selepas mangsa dikatakan orang paling awal masuk ke dalam bilik asrama.

"Hasil siasatan mendapati suspek berusia antara 14 dan 18 tahun itu memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki. Kita sudah kenal pasti suspek terlibat dan belum lakukan sebarang tangkapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang mengetahui kejadian itu telah menghubungi bapa mangsa, Azizan A Aziz kira-kira jam 6 pagi semalam sebelum membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah(HSB) bagi mendapatkan rawatan. Adzaman berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengenai kejadian itu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Azizan, 40, berkata dia telah menghubungi sekolah bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu sebelum pergi ke situ untuk melihat keadaan anaknya yang dikatakan demam oleh pihak sekolah. Katanya ketika tiba di sekolah dia mendapati anak kedua daripada lima beradik itu tidur di asrama dalam keadaan lemah selain terdapat kesan lebam pada anggota badan serta mengadu sakit pada pinggang.

Pemandu lori itu berkata pemeriksaan pakar perubatan di HSB mendapati anaknya mengalami pendarahan dalaman pada usus dan buah pinggang kesan daripada kejadian itu. Katanya, sebelum itu seorang suspek turut menghubunginya dan meminta ganti rugi sebanyak RM400 atas kehilangan telefon bimbit yang dikatakan dicuri anaknya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...