TERKINI :

Tuesday, November 10, 2015

Almarhum TG Nik Aziz kata PAS bubar jika...


PAS bukan sahaja parti politik, tapi jugak gerakan Islam, dari dulu PAS sudah bagitau rakyat Malaysia tentang ini. Sebab itu dalam PAS berpolitik di dalamnya ada dakwah, dalam dakwah PAS ada politiknya. Dua-dua ni bercampur dan bersatu, tidak boleh diasingkan, kalau diasingkan, jadilah dia politik tanpa Islam dan jadilah dia Islam tanpa politik.

Dua-duanya adalah dari rubu' Islam, kalau tidak ada salah satunya, macam otak tanpa perasaan dan macam perasaan tanpa otak. Kalau ada otak tiada perasaan, maka akal berfikir tanpa rasa takut, bimbang dan kasihan belas. Kalau ada perasaan tapi tiada otak, apapun tidak boleh buat, sekadar berasa-rasa sahaja, tapi tidak mampu berfikir untuk berbuat apa yang dirasa.

Politik tanpa Islam, adalah politik jahat, politik rasis, politik rakus, politik hawa nafsu, politik rasuah dan politik yang tidak takutkan Allah, politik yang berada di luar kawalan Islam juga politik yang jauh daripada redha Allah SWT. Dakwah tanpa politik atau tanpa cita-cita politik hanya seumpama bina rumah yang tidak sempurna, hanya sekadar tiang tapi tiada pula dinding dan atapnya.

Orang berdakwah kena berpolitik, orang berpolitik wajib berdakwah. Dakwah itu ialah cara dan jalan untuk mencapai matlamat, kalau matlamatnya Islam, maka jalan menuju matlamatnya ialah dakwah, kalau jalannya adalah dakwah, mestilah jalannya adalah jalan yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasul-Nya, sebab kerja dakwah ni adalah perintah Allah dan jalan para Rasul.

Orang berpolitik tujuannya hendak berkuasa, kuasa memerintah, orang yang berdakwah untuk mendapatkan kuasa politik, tidak berdakwah untuk dia berkuasa, tetapi tujuannya agar Islam itu berkuasa. Biarlah sesiapapun yang memerintah asalkan Islam itu menjadi dasar pemerintahannya, siapapun berkuasa jika dasarnya sama maka semuanya adalah sama.

Almarhum Tuan Guru Dato Nik Aziz pernah sebut, kalau Umno laksanakan Islam keseluruhannya maka haram lagi ada PAS, inilah politik Islam yang dibina diatas jalan dakwah, sebab dakwah itu tujuannya adalah Islam, bukan diri kita, maka matlamat dakwah itu tercapai bila Islam itu tertegak bukan dengan sebab manusia idola kita jadi pemimpin.

Tidak perlu masuk Umno untuk dakwah kepada pemimpin Umno sebagaimana tidak perlu bersama DAP untuk dakwah kepada DAP, sebab dakwah ada prinsip dan tanzimnya sebagaimana politik ada dasarnya dan tidak perlu kecam Presiden PAS sampai kata dia mahu jadi "penasihat bertaraf menteri" kepada Umno, agama itu nasihat dan nasihat itu agama, di mana salahnya?.

Meleleh air liur sampai kering dok tuduh PAS mahu masuk Umno semata-semata kerana prinsip dakwah yang dibawa oleh PAS, ada yang bercakap mendahului keputusan Tuhan, "jangan haraplah Umno nak Islam", yang cakap pula tu orang yang memang tolak hukum Islam, dia sendiri pun tolak juga.

Kalau Umno tolak Islam dia kata salah, yang dia tolak Islam takkan kita nak kata betul, bila kita kata dia tak betul, meroyanlah pulak.

Dakwah itu jalannya sukar dan seni, abstrak sangat, kalau pandang dengan akal semata pasti dia akan kata Nabi Musa itu bodoh kerana menasihati Firaun, pasti juga dia akan kata Allah SWT sudah silap strategi kerana perintahnya kepada Musa "Pergilah kamu kepada Firaun, sesungguhnya ia adalah Taghut", Toghut-Toghut Firaun pun, Allah suruh sampaikan agama kepadanya.

Jalan Islam itu dibina diatas perbagai cara, ada masa kena perang, ada masa kena nasihat, bukan keras sepanjang masa, seperti mahu cantikkan rumah, bukan semua dengan kerja kasar, ada tempatnya perlu kepada kerja seni yang halus. PAS bukan nak berlembut sepanjang masa, sampai orang pijak kepala. Ada masanya PAS berkeras, bukan pula keras sepanjang masa sampai tiada lembutnya.

"Jangan kebencian kita kepada satu kaum, lalu kita bersifat zalim". Kalau lembut pun jangan sampai benda jahat dikatakan baik, kalau keras pun jangan sampai benda baik dikatakan jahat, kalau dakwah ajak orang kepada kebaikan itu baik, jangan sampai kata PAS bodoh kerana berdakwah. Kalau tak suka PAS jangan sampai kata PAS bodoh kerana mahu menasihati orang pada jalan agama, kerana jalan dakwah itu adalah jalan para Anbiya. – HARAKAHDAILY 9/11/2015

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...