TERKINI :

Friday, November 13, 2015

Air ketum jadi pilihan geng penagih nelayan di negeri Kedah

Air ketum pilihan penagih nelayan
Mohd Nazer melihat statisitik kawasan terlibat kegiatan dadah di negeri ini.

ALOR SETAR - Rata-rata penagih dalam kalangan nelayan di negeri ini dikhuatiri menjadikan air ketum sebagai alternatif kepada dadah bagi mendapatkan tenaga mahu pun menghilangkan rasa ketagihan.

Pengarah AADK Kedah, Mohd Nazer Mustafa berkata, kesukaran mendapatkan bekalan dadah berkemungkinan membuatkan mereka beralih arah kepada air ketum.

“Apatah lagi, bekalan air ketum mudah didapati berbanding dadah jenis heroin dan morfin," katanya.

Nazer berkata, harga pasaran air ketum berkenaan lebih murah berbanding dadah, sekali gus menarik perhatian golongan berkenaan untuk mencuba.

“Jika sebelum ini mereka perlu mengeluarkan wang sebanyak RM25 bagi mendapatkan dadah jenis morfin atau heroin, kini air ketum boleh didapatkan dengan harga RM7 sebungkus,” katanya.

Menurutnya, mereka dikhuatiri memilih air ketum bagi menghilangkan seketika rasa ketagihan kepada dadah, namun akhirnya terus bergantung kepada air ketum berkenaan.

"Gejala ini membimbangkan, kerana air ketum berkemungkinan dicampur dengan bahan lain bagi memberi kepuasan kepada mereka.

"Penyalahgunaan bahan seperti air ketum ini mampu memberi kesan mudarat kepada penagih, termasuk dari segi kesihatan mereka," katanya.

Apatah lagi, katanya, pengusaha ketum mencipta aneka produk berasaskan ketum seperti gula-gula, agar-agar dan bahan dalam rokok elektronik atau vape untuk menarik minat golongan berkenaan.

Nazer berkata, tidak dinafikan ada nelayan di daerah tertentu, seperti Kuala Muda dan Kuala Kedah, terbabit dengan ketum, namun penglibatan di semua daerah juga agak meluas.

Bagaimanapun, katanya, pihak AADK Kedah akan terus melakukan kempen kesedaran dan aktiviti penguatkuasaan bagi menangani masalah penagihan air ketum.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Ahmad Rudin Hussin berkata, pihak mereka sememangnya memandang berat isu berkenaan dalam kalangan nelayan.

Katanya, kes melibatkan air ketum sudah menjadi masalah utama kerana bekalan barangan berkenaan mudah didapati dan murah.

“Selagi ada pokok berkenaan, maka adalah air ketum. Lagipun, sepanjang pantai banyak yang menanam pokok ketum ini,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...