TERKINI :

Sunday, November 15, 2015

Ahmad Maslan bohong, buat kenyataan tanpa usul periksa – ABIM

FMT Reporters | November 15, 2015

Kenyataan bohong dan tanpa usul periksa Ahmad Maslan itu amat dikesalkan dan ia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab

mohamad-Raimi-Ab-Rahim,-Ahmad-Maslan

PETALING JAYA: Tindakan Timbalan Menteri Perdangaan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan yang memberikan komen negatif menerusi media massa terhadap pihak-pihak tertentu berhubung ketidakhadiran dalam undangan pada Majlis Penerangan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu disanggah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim menegaskan, pihaknya tidak dijemput oleh penganjur ke majlis itu apatah lagi untuk mengesahkan kehadiran wakil.

“ABIM kesal dan mengecam kenyataan bohong dan tanpa usul periksa Ahmad Maslan seperti yang telah disiarkan oleh media.

“Kenyataan tersebut jelas amat tidak bertanggungjawab dan tindakannya telah memberikan persepsi yang ternyata palsu kepada masyarakat bahawa ABIM adalah sebuah badan yang tidak bermaruah,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Semalam, Ahmad telah memberikan komen apabila menyalahkan pembangkang kerana tidak hadir ke Majlis Penerangan Perdana anjuran UMNO berhubung isu semasa termasuk perkara-perkara melibatkan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA), Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bajet 2016.

Majlis itu telah dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Ahmad menerusi komennya dilapor berkata, biarlah pembangkang terus menyalak tentang isu 1MDB, Bajet 2016 dan TPPA apabila mereka sendiri tidak mahu hadir ke majlis penerangan berkenaan.

“Oleh itu, ABIM mengesyorkan kepada Ahmad Maslan, untuk tidak membuat komen yang tidak tepat dan rumusan yang berbentuk sindiran negatif, tanpa mengambil nasihat perundangan yang lengkap,” ujar Mohamad Raimi lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...