TERKINI :

Thursday, November 26, 2015

Adakah saya dipecat kerana bersama Dr Mahathir, tanya Hamidah Osman

Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman mengetahui beliau dipecat parti menerusi media semalam. – Gambar web, 25 November, 2015.
Pemimpin Umno Perak yang dipecat, Datuk Hamidah Osman tidak tahu punca sebenar pemecatan beliau daripada parti dan akan berbincang dengan penyokongnya terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Ketua Wanita Umno Gopeng yang dipecat malam tadi selepas mengkritik pemimpin Umno secara terbuka berkata, beliau akan membuat sidang media Jumaat ini untuk mengumumkan pelan masa depannya.

"Saya hanya tahu mengenai hal ini malam tadi selepas media menghubungi saya.

"Saya belum menerima sebarang makluman rasmi dan belum jelas punca keputusan ini dibuat," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Saya dapati ia agak ganjil kalau saya dipecat kerana bersama Dr Mahathir kerana dia juga ahli Umno.

"Bagaimana saya boleh dipecat sedangkan penceramahnya tidak," katanya.

Bekas ketua penerangan wanita Umno itu menambah beliau percaya hanya “orang kecil” sepertinya akan berdepan dengan tindakan disiplin kepimpinan parti.

Pada Mei, Hamidah menganjurkan majlis Bicara Negara di Hotel Tower Regency, Ipoh yang menjemput Dr Mahathir berucap dan mempertikaikan Najib mengenai syarikat pelaburan kerajaan yang sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas perdana menteri itu lantang menyuarakan ketidakpuasan hatinya mengenai dana kontroversi itu dan berkata penggantinya tidak boleh dimaafkan kerana kehilangan RM42 bilion melalui pelaburan kerajaan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir berkata timbalan Hamidah akan menjawat sementara ketua Wanita bahagian Gopeng yang kini kosong.

“Kebiasaan dalam parti untuk timbalan mengisi jawatan ketua bila jawatan itu kosong,” katanya selepas mempengerusikan majlis exco kerajaan negeri di Ipoh hari ini.

Pengerusi perhubungan Umno Perak itu juga mengesahkan ahli Umno bahagian Gopeng sudah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Hamidah kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Kami (kepimpinan parti negeri) tidak terlibat dan hanya menyampaikan keputusan dilakukan Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Beliau enggan mengulas lanjut sama ada pemecatan itu boleh menyebabkan perpecahan di kalangan ahli akar umbi parti bahagian Gopeng.

Setiausaha Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohammad memberitahu wartawan semalam pemecatan Hamidah bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sebelum ini lantang menyuarakan kritikan menentang perdana menteri.

Beliau berkata ini berdasarkan bukti aktivitinya di media sosial seperti Facebook.

Pada awal September, Hamidah dilaporkan Sinar Harian sebagai berkata:“Jangan beritahu saya yang 3 juta ahli perlu berkorban untuk seorang lelaki. Sepatutnya pemimpin yang berkorban demi 3 juta ahli parti.”

Beliau juga mendesak Najib menerima hakikat skandal 1MDB menghakis kepercayaan rakyat terhadap Umno. – 25 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adakah-saya-dipecat-kerana-bersama-dr-mahathir-tanya-hamidah-osman#sthash.bj6Xkn7Z.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...