TERKINI :

Saturday, November 28, 2015

9 ketua cawangan Umno berdepan tindakan disiplin


Sembilan ketua Cawangan Umno Telok Kemang akan dihadapkan ke tribunal disiplin parti itu kerana membuat desakan secara terbuka supaya Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai presiden Umno baru-baru ini.

"Sembilan orang di kalangan mereka yang membuat sidang media di Telok Kemang baru-baru ini, telah menerima surat tindakan tatatertib," kata Ketua Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman dalam sidang media "Perjuangan Mendemokrasikan Umno" di Puchong, malam tadi.

Menurut Kamarul, kesemua mereka akan dihadapkan ke tribunal disiplin parti itu Rabu depan.

Sebelum ini, kepimpinan tertinggi Umno yakin desakan seumpama itu tidak memberi kesan kepada kedudukan Najib.

"Kalau tak berkesan mengapa kami dikenakan tindakan?" soal Kamarul.

"Tetapi nyata tindakan itu begitu pantas kerana mereka dah bimbang dengan gerakan (desakan agar Najib letak jawatan) ini," tegas Kamarul lagi.

Malah, ujar Kamarul, pihaknya sedang mengatur beberapa tindakan susulan bagi terus mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

"Kita akan susun lagi dengan beberapa aktiviti yang lebih besar daripada ini,

"Kami datang hari ini untuk rangka gerak kerja lebih menyeluruh, agar dapat bergerak ke tiap-tiap negeri," kata Kamarul.

Tambah Kamarul lagi, pada asalnya 34 cawangan telah membuat desakan tersebut namun, dakwanya, jumlahnya telah menjangkau 800 hingga 1,000 ketua cawangan Umno yang sudah menyertai mereka.

"Ia ambil masa sebulan dua lagi dan kita akan buktikan kita ada kuasa untuk jatuhkan dia (Najib)," katanya.

Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia yang mendakwa mewakili kira-kira 200 cawangan Umno, malam tadi mengadakan pertemuan tertutup bagi mendesak presiden parti itu Najib meletakkan jawatan selepas kecewa dengan presiden parti itu.

Malaysiakini juga difahamkan kesemua mereka hadir atas kapasit sendiri, namun enggan memaklumkan cawangan masing-masing atas faktor keselamatan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...