TERKINI :

Monday, November 9, 2015

4 individu gagal halang Hadi bentang hudud di Parlimen

Empat individu hari ini gagal menghalang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang rang undang-undang berkaitan hudud di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 November, 2015.
Empat individu hari ini gagal menghalang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang rang undang-undang berkaitan hudud di Parlimen.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Hadi dan 4 yang lain untuk membatalkan saman tersebut atas alasan individu berkenaan tiada locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) berbuat demikian.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dihadiri kesemua pihak.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili Hadi berkata yang Hakimjuga menyatakan sebagai anggota Parlimen, Hadi mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan Akta Parlimen.

Selain Hadi, 4 individu tersebut iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 2 Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah sebagai defendan.

Mereka memfailkan saman pemula itu pada 12 Jun lepas bagi mencabar pembentangan Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Empat individu itu turut memohon 1 deklarasi pembentangan mengenai pindaan itu merupakan satu kemungkiran terma Buku Jingga Pakatan Rakyat Abdul Hadi.

Tambah Takiyuddin, hakim juga menyatakan 4 individu berkenaan sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

"Mahkamah menerima hujah kaedah yang diambil plaintif adalah tidak betul kerana sepatutnya ianya melalui semakan kehakiman. Mahkamah juga bersetuju plaintif tidak menunjukkan mereka mempunyai hak untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana tiada di dalam dokumen menjelaskan siapa mereka.

"Malah daripada 4 plaintif, hanya 1 plaintif (Mansoor) yang membuat afidavit dan mewakili 3 yang lain, sama ada mereka pengundi berdaftar atau ahli Pakatan Rakyat.

"Mahkamah juga mendapati plaintif tidak mempunyai locus standi dalam mengambil tindakan ini dan tuntutan yang dibuat adalah pramatang serta hanya andaian. Ia menyalahguna proses mahkamah,' katanya.

Takiyuddin berkata mahkamah juga bersetuju menurut Akta Relif Spesifik 1950, tiada siapa yang boleh menyekat anggota Parlimen membawa perkara dan usul untuk dibentangkan.

"Hakim turut bersetuju Akta Prosiding Kerajaan 1956 menetapkan kakitangan kerajaan tidak boleh dikenakan perintah injunksi. Ia merujuk kepada setiausaha dewan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili defendan berkata dengan keputusan tersebut Abdul Hadi boleh membentangkan rang undang-undang berkenaan tanpa sebarang halangan. – Bernama, 9 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/4-individu-gagal-halang-hadi-bentang-hudud-di-parlimen#sthash.TjsvJ36C.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...