TERKINI :

Sunday, November 29, 2015

1MDB : Jual Edra tak kurang hutang

Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Penjualan stesen kuasa Edra Global Energy Bhd kepada syarikat China General Nuclear Power Corp (CGN Group) tidak akan mengurangkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara RM16 bilion dan RM18 bilion seperti didakwa Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana kejatuhan nilai ringgit menyebabkan hasil jualan itu tidak dapat membayar hutang 1MDB yang dipinjam dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, 1MDB membeli loji kuasa ketika nilai ringgit adalah RM3.20 berbanding dolar AS dan nilai ringgit kini mencecah RM4.20 untuk satu dolar.

Oleh itu, katanya nilai RM9.83 bilion yang dibayar syarikat China itu adalah kurang daripada RM9.83 bilion yang dibayar 1MDB.

“Jika wang dipinjam 1MDB dalam ringgit, kerugian akan menjadi minimum. Tetapi jika 1MDB pinjam dalam dolar AS, mereka akan rugi RM1 bagi setiap dolar dipinjam.

“Dalam erti kata lain, apa yang diperoleh 1MDB daripada jualan tidak akan dapat membayar sepenuhnya hutang dalam dolar AS yang dipinjam 1MDB,” katanya dalam tulisan di blognya, semalam.

Isnin lalu, 1MDB, menerusi anak syarikatnya Edra Global Energy Bhd, memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group, melibatkan penjualan 100 peratus kepentingannya dalam semua aset tenaganya yang bernilai RM9.83 bilion.

Jualan itu adalah untuk pemilikan 1MDB dalam semua aset tenaga Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd.

Syarikat China itu akan membayar wang tunai, nilai ekuiti sebanyak RM9.83 bilion dan menanggung semua hutang dan wang tunai aset-aset kuasa, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac. Urus niaga dijangka selesai pada Februari 2016.

Mahathir turut mempersoalkan sama ada pembelian loji kuasa oleh pembeli asing merupakan satu bentuk pelaburan langsung asing.

“Wang yang dibawa masuk akan keluar untuk membayar hutang asing. Dan jumlah yang keluar akan lebih banyak daripada aliran masuk. Tidak kedengaran seperti pelaburan langsung asing bagi saya.

“Adakah kerajaan akan benarkan penghantaran balik secara penuh keuntungan loji ini di Malaysia? Perlu diingatkan China mempunyai peraturan di mana penghantaran balik mestilah dalam bentuk eksport produk China dan bukan wang tunai,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...