TERKINI :

Wednesday, October 28, 2015

"Saya ingat tak payahlah ada kerjasama PAS-UMNO, kita ikut haluan masing-masing" - Nazri Aziz


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz secara jelas menolak kerjasama antara Umno dengan PAS.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata ini kerana bagi mengelak berlakunya perebutan kerusi antara kedua-dua parti itu dalam pilihan raya akan umum (PRU) akan datang.

"Saya ingat tak payahlah (kerjasama), kita ikut haluan masing-masing.

"Kalau datang pilihan raya nanti berebut kerusi, kerusi yang Umno bertanding dia nak tanding. Dah kena rebut kerusi, gaduh pula," katanya kepada pemberita selepas meraikan pembukaan Festival Filem Eropah di ibu negara sebentar tadi.

Sebelum ini dilaporkan seorang timbalan menteri masih berharap kerjasama antara PAS dan Umno direalisasikan demi agama Islam dan bangsa Melayu.

Malah, ia berdasarkan pertimbangan perjuangan kedua-dua parti dianggotai orang Melayu itu yang dikatakan selari.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) juga berkata Pakatan Harapan harus bersedia berdepan cabaran politik baru jika PAS-Umno bekerjasama.

Mengulas lanjut, Nazri berkata buat masa ini biarlah Umno terus kekal bersama kompenan BN.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak usaha PAS untuk berbaik dengan Umno.

"Dia (PAS) parti politik, kerjasama setakat itu sajalah. Sebab kita kena ingat masing-masing ada cita-cita untuk tubuhkan kerajaan dan saya kira kita kena berhati-hati," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...