TERKINI :

Wednesday, October 14, 2015

‘Rugi berbalah sama sendiri’ - PAS Kota Bharu


 KOTA BHARU – Pas Kota Bharu melihat perbalahan yang berlaku dalam kalangan parti pembangkang kini merugikan semua mereka ketika usaha giat dijalankan untuk menarik sokongan pengundi menjatuhkan BN pada PRU akan datang.

Pemangku Yang dipertuanya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, sepatutnya parti pembangkang lebih mementingkan perbincangan bersama untuk memperjuangkan pelbagai isu nasional yang berkait rapat kepentingan rakyat dan negara berbanding percakaran sesama sendiri.

“Ia bukan sahaja merugikan kita, malah perkara tersebut boleh menghakis kepercayaan rakyat yang diberikan sepenuhnya kepada kita sebelum ini. Rakyat adalah pemerhati dalam setiap apa yang kita lakukan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam yang menyeru kepada semua parti pembangkang supaya menghentikan perbalahan dan menyerang antara satu sama lain.
Dalam kenyataan yang sama, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan kepimpinan pusat akan meneruskan usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu serta mencari penyelesaian kepada krisis negara yang makin mendesak.

Rosli berkata, ketua pembangkang sendiri juga mempunyai tanggungjawab besar untuk mengusahakan pertemuan pimpinan parti pembangkang dan sesiapa sahaja ahli parlimen yang prihatin untuk membincangkan agenda penting yang boleh diambil pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata, ia termasuk juga untuk membincangkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najin Tun Razak seandainya itu langkah terbaik dalam menangani kemelut politik dan kegawatan yang berlaku ketika ini.

“Saya yakin walaupun Pas tidak dapat menerima DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara) buat masa ini, pasti akan ada juga titik pertemuan yang boleh diusahakan untuk membawa semua parti pembangkang berada semeja dalam memastikan kerajaan BN sama ada pimpinan Datuk Seri Najib atau sesiapa sahaja selepas itu dapat ditewaskan untuk PRU akan datang,” katanya.

Sebelum ini Pas mengumumkan terus komited meneruskan kerjasama politik dengan PKR dan menghormati hak mana-mana pihak untuk merangka agenda politik sendiri.

Pas melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan juga berkata, Pas tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...