TERKINI :

Thursday, October 29, 2015

PERKASA - Hentam, perlekeh Tun M hanya rugikan Umno


SHAH ALAM - Perkasa menegaskan tindakan menghentam dan memperlekehkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga mahu menyingkirkan beliau daripada Umno adalah satu tindakan yang tidak bijak.

Malah kata Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya, tindakan itu juga akan mengurangkan lagi sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut.

"Di kalangan pemimpin parti seharusnya membuat pendekatan yang lebih bijak untuk menambahkan sokongan dan memperbanyakkan lagi ahli supaya parti tersebut lebih kuat, bukannya membuat penyelesaian dengan menyingkirkan ahli yang ada," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Sejak kebelakangan ini, tindakan Dr Mahathir yang begitu lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pelbagai respons daripada pemimpin Umno.
Rentetan kritikan pedasnya itu ada pihak di dalam Umno yang mendesak agar Dr Mahthir disingkirkan daripada parti itu kerana dianggap sudah menjadi liabiliti kepada parti.

Mengulas lanjut, Abu Bakar bagaimanapun berpendapat, pimpinan-pemimpin Umno seharusnya menerima pandangan dan kritikan daripada ahli parti serta menyelesaikannya dengan cara yang bijaksana.

"Perlu diingat, Tun Mahathir adalah mantan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, semestinya telah banyak berjasa dan mempunyai ramai pengaruh serta pengikut.

"Adalah lebih baik setiap tindakan perlu lebih berhati-hati (berilmu) demi kepentingan masa depan parti, jika tidak parti yang akan rugi serta menerima padah sehingga boleh mengaibkan ahli-ahli," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...