TERKINI :

Saturday, October 31, 2015

Pas Selangor pertikai hasrat DAP


SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini mempertikaikan hasrat DAP yang mahu bertanding di lapan kerusi DUN yang disandang oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pemimpin Pas Selangor memutuskan untuk mempertahankan kesemua lapan kerusi tersebut pada PRU akan datang kerana melihat tindakan DAP itu lebih kepada usaha bersama sekutunya iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan parti serpihan Pas.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Pas sedia maklum bahawa DAP mahu merebut kerusi parti itu, namun pihaknya berpendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

"Sebelum ini kita telah dengar ada ura-ura mereka akan masuk kawasan Pas...kita akan terus bertanding di situ dan akan pertahankan kerusi kita," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini.

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Pas negeri tidak akan berundur dan memberi laluan kepada DAP dalam pilihan raya umum itu.

"Apa rasionalnya DAP nak bertanding di kerusi yang dalamnya 70 peratus pengundi Melayu? Ini bukti suara DAP adalah suara parti Amanah kerana kedua-dua parti ini berminat untuk bertanding di kerusi yang dimenangi Pas," katanya yang juga Adun Paya Jaras.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dilaporkan sebagai berkata parti itu mungkin akan bertanding di lapan kerusi Pas dalam pilihan raya umum akan datang dan sudah bersedia ke arah itu.

Kerusi-kerusi itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras.

Bagaimanapun, Pua berkata keputusan itu akan diputuskan setelah perbincangan dibuat bersama Pakatan Harapan Selangor yang melibatkan DAP, PKR dan Amanah. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...