TERKINI :

Saturday, October 3, 2015

NGO wanita tolak kenyataan Rosmah di luar negara

Kumpulan-kumpulan wanita hari ini menolak kenyataan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, bahawa perkahwinan kanak-kanak di Malaysia jarang berlaku.

“Malangnya perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku lebih kerap daripada yang digambarkan,” kata Gabungan Organisasi Wanita Bertindak Bagi Kesamarataan Gender (JAG).

“Perkahwinan kanak-kanak sudah pasti bukan jarang-jarang berlaku di Malaysia, seperti disebut Rosmah.”

Memetik timbalan meneri wanita, keluarga dan masyarakat Heng Seai Kie pada 2010, JAG berkata kira-kira 16,000 wanita bawah 15 tahun berkahwin pada tahun itu.

Empat tahun selepas itu, kata JAG, keadaan di Malaysia mencetuskan kebimbangan antarabangsa, apabila laporan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) 2014 merekodkan lebih 15,000 kanak-kanak Malaysia berkahwin sebelum umur 19.

Di Malaysia Timur, kata JAG, perkahwinan masih berlaku ketika kemiskinan lebih tinggi dan pembangunan tidak sampai ke kawasan pedalaman.

Berhubung resolusi bagi menamatkan perkahwinan kanak-kanak oleh Majlis Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), JAG berkata Malaysia patut menggiatkan usaha menamatkannya.

JAG terdiri daripada gabungan NGO wanita, termasuk Sisters in Islam (SIS), All Women’s Action Society (AWAM), Persatuan Pertolongan Wanita (WAO) dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).

Bernama kelmarin melaporkan Rosmah berkongsi pengalaman Malaysia mengatasi masalah perkahwinan kanak-kanak semasa mesyuarat pagi Yayasan Ford di New York pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Isteri Datuk Seri Najib Razak berkata perkahwinan kanak-kanak jarang berlaku di Malaysia berikutan sistem pendidikan negara yang baik dan kadar kemiskinan yang rendah.

Perundangan Malaysia, menurut Rosmah menyekat dan mempunyai pendekatan lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada dipaksa untuk berkahwin pada awal usia.

Rosmah berada New York kerana mengiringi Najib sempena lawatan kerja dan menghadiri sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...