TERKINI :

Saturday, October 31, 2015

Menteri, timbalan menteri kita banyak buang masa – NGO

Syed-Ali-Al-Attas_talk
KUALA LUMPUR: Sebahagian menteri dan timbalan menteri di negara ini didakwa tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat malah mereka dikatakan lebih banyak membuang masa.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Al-Attas berkata, keadaan itu merupakan contoh bagaimana kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya sumber tenaga yang ada termasuk menteri dan timbalan menteri.

Katanya, walaupun negara ini mempunyai ramai menteri dan timbalan tetapi sebahagiannya tidak menyumbang apa-apa.

“Negara kita memiliki ramai menteri dan timbalan menteri. Tapi ada setengah daripada mereka tidak membantu apa-apa. Banyak menteri dan timbalan menteri kita hanya membuang masa,” katanya dalam sidang media sempena forum Pasca Bajet 2016 pada Jumaat.

Mengulas mengenai Bajet 2016 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, Syed Ali berkata, Najib mengutamakan pembangunan bersifat kuantitatif dan mengabaikan pembangunan moral atau kualitatif.

“Pembangunan minda, hati tidak dibentangkan dalam bajet kali ini. Bajet yang dibentangkan ini seolah-olah menyamai bajet negara Barat.

“Kita harus ubah pemikiran kita. Kita harus ada maruah,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, kurangnya pembangunan moral, minda, hati dan insaniah telah menyebabkan masalah-masalah dan peningkatan kadar jenayah seperti kes rompak dan penagihan dadah.

“Kerajaan tidak menggunakan sumber manusia di negara ini secara efisyen. Rakyat di negara ini hanya menggunakan 20 peratus kemahiran mereka. Walaupun kita mempunyai 20 buah universiti awam.

“Malah, hingga kini masih ada rakyat yang masih menganggur, bermain telefon pintar, merokok dan juga membuang masa,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...