TERKINI :

Saturday, October 31, 2015

Buktikan wujud 'harumanis' dalam Pas - TPJ III Kedah


ALOR SETAR - Pas Kedah tidak bimbang dengan dakwaan wujudnya kumpulan ‘harumanis’ yang dikatakan cenderung kepada Amanah walaupun masih bergelar ahli Pas.

Bagaimanapun, dakwaan itu perlulah berlandaskan kepada bukti, bukan sekadar cakap kosong.

Timbalan Pesuruhjaya III, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, kenyataan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang melabel kumpulan itu umpama mempelam harumanis kerana secara senyap menyokong Amanah dan belum bersedia tinggalkan Pas, hanyalah kenyataan melulu dan tidak berasas.

“Tunjukkan bukti jika benar kumpulan ini wujud, termasuk dakwaan konon ramai ahli Pas sedang menunggu masa sesuai untuk sertai Amanah. Cakap-cakap seperti itu tiada nilai dalam politik sekarang,” katanya.

Menurutnya, amat lucu apabila ahli Pas dilabel dengan gelaran ‘hijau di luar oren di dalam’, kerana yakin majoriti masih setia pada parti dan perjuangannya.

“Kenyataan yang dibuat itu seolah-olah terdesak, beliau cuba membuat iklan barangan yang tidak ada di pasaran seperti menjual barang dalam gelap supaya orang tertipu,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Pas sekadar menganggap dakwaan itu sebagai cubaan Amanah memancing ahli-ahli Pas berikutan mereka ketandusan sokongan.

“Ahli Pas yang istiqamah dengan perjuangan parti tidak mungkin termakan ‘umpan’ seperti itu. Saya juga ada kiasan buat Amanah, umpama mempelam Siam yang diperam dengan karbaid, warnanya oren elok namun isi tak sedap dan biji tak boleh dibuat benih,” katanya.

Pas Kedah turut mencadangkan wakil rakyat Amanah supaya mengosongkan kerusi Dun Pengkalan Kundor untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil sekiranya mahu membuktikan dakwaan mereka berasas.

“Itu sahaja caranya jika kita mahu lihat kewujudan ‘harumanis’ ini sama ada benar atau sekadar gimik politik. Bukan sahaja selari dengan lafaz bai’ah Adun terbabit, tetapi itulah ukuran sebenar kekuatan sokongan terhadap mana-mana parti politik,” katanya.

Muhammad Sanusi juga ingin mengingatkan Ismail bahawa pencen yang diperolehnya daripada jawatan exco kerajaan negeri adalah atas tiket Pas yang dimenangi pada PRU2008.

“Jangan jadi kacang lupakan kulit. Jika tidak lagi bersama perjuangan Pas, jangan pula cuba menghasut ahli Pas untuk meninggalkan parti. Biarlah individu itu buat penilaian sendiri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mempertikai dakwaan Ismail wujudnya ugutan kepada ahli yang berhasrat keluar parti.

“Ugutan adalah jenayah dan boleh didakwa di mahkamah. Tiada ahli Pas kekal dalam parti hanya kerana ugutan, kerana ini bukan cara Pas mendidik ahlinya. Dakwaan ini karut,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...