TERKINI :

Friday, October 30, 2015

Apa yang 1MDB takutkan, Nik Nazmi terkilan syarat debat

 Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata 1MDB tidak perlu risau sekiranya syarikat sarat hutang itu tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Oktober, 2015.
Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tidak perlu gentar berdebat dengan Tony Pua jika syarikat itu tidak ada apa-apa hendak disembunyikan, kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, syarat Arul agar Pua meletak jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum berdebat dengannya seolah-olah syarikat itu risau maklumat yang belum diketahui umum akan digunakan ahli Parlimen DAP itu di dalam debat itu.

"Bagi saya, antara hujah yang digunakan adalah, Pua akan guna maklumat dari PAC untuk berdebat. Tetapi kalau 1MDB tiada apa rahsia, tiada masalah. Apalah yang hendak ditakutkan?

"Jadi, itu bagi saya, hujah yang lemah. Seolah-olah dia (Arul) mengaku 1MDB ada masalah besar sehingga tak hendak bagi orang yang ada akses pada maklumat berdebat dengan beliau," katanya pada sidang media Pemuda Pakatan Harapan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong pada sidang media sama menggesa Arul agar memberikan penjelasan memuaskan tentang perjalanan 1MDB kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, perkara itu lebih mustahak berbanding mengulangi gesaan agar Pua meletak jawatan.

"Isu 1MDB ini bukan isu jawatan antara mereka yang hendak berdebat. Ini isu nasional dan sepatutnya Arul beri penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan sampai hendak berdebat dan letak syarat," katanya.

Arul semalam menyahut cabaran Pua untuk satu wawancara di kaca TV yang disiarkan secara langsung membincangkan isu 1MDB, tetapi beliau meletakkan syarat, pemimpin pembangkang itu mesti meletakkan jawatan sebagai ahli PAC bagi memelihara integriti jawatankuasa itu dan mengelakkan konflik kepentingan.

Saranan Arul disokong Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan ahli PAC dari Barisan Nasional Datuk Liang Teck Meng. – 30 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/apa-yang-1mdb-takutkan-nik-nazmi-terkilan-syarat-debat#sthash.7MYn1B9O.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...