TERKINI :

Friday, September 11, 2015

Tiga gerai dirobohkan MPSPK

Tiga gerai dirobohkan

SUNGAI PETANI – Tiga gerai di Lencongan Barat Sungai Petani, di sini, dirobohkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) selepas peniaganya meninggalkan peralatan berniaga di situ.

Malah tindakan segelintir peniaga yang mementingkan diri itu juga menyebabkan kesemua peniaga di situ dikenakan tindakan MPSPK.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Anil Aris berkata, sikap peniaga yang ingkar dengan arahan menyebabkan kesemua peniaga terpaksa menanggung risiko.

“Ada juga gerai yang ditinggalkan lebih lama sehingga usang dan menyebabkan persekitaran tidak bersih.

“Antara gerai yang disita termasuk sebuah gerai lemang dan dua gerai terbiar yang ditinggalkan di tepi jalan Lencongan Barat biarpun sudah tidak lagi digunakan,” katanya.

Anil berkata, jumlah kesemua peniaga yang berniaga di Lencongan Barat dianggarkan lebih 20 orang, namun ada beberapa yang ingkar meninggalkan perkakasan perniagaan menyebabkan halangan pandangan.

“Sebelum ini, kita menggunakan budi bicara supaya peniaga berkenaan mematuhi arahan ditetapkan, namun masih ada peniaga yang ingkar.

“Kita juga ada menghantar notis arahan kepada peniaga untuk membersihkan kawasan dalam tempoh dua minggu, namun disebabkan ada yang masih tidak mengikutinya, tindakan tegas terpaksa diambil.

“Malah kita juga menerima aduan mengenai perniagaan yang dijalankan di mana bukan sahaja peniaga tidak membersihkan kawasan lepas berniaga tetapi mencacatkan pandangan bandar Sungai Petani,” katanya.

Katanya, seramai 10 anggota penguatkuasa terlibat dalam operasi yang dijalankan di sepanjang jalan berkenaan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Roslin Bakar.

"Dalam operasi itu, kita menggunakan dua lori dan jengkaut.

“Kita akan meneruskan operasi ini dari masa ke semasa dan akan menumpukan ke Lencongan Timur Sungai Petani melibatkan peniaga tepi jalan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...