TERKINI :

Saturday, September 12, 2015

PAS, Umno perlu ada dalam kerajaan


Sebagai parti tunjang dalam negara ini Umno dan PAS perlu berada dalam pentadbiran kerajaan, kata Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Menurut bekas menteri penerangan itu, keperluan supaya Umno dan PAS bekerjasama dibangkitkannya kerana kedua-dua parti mewakili 70 peratus penduduk di Malaysia.

“Ada dua sahaja parti tunjang di Malaysia ini iaitu Umno dan PAS. Jadi siapa pun nak jadi kerajaan, mesti ada satu parti tunjang. Kita hendak membina negara sejahtera,” katanya ketika membentangkan usul politik di Kongres Rakyat - Membina Malaysia Sejahtera di Shah Alam hari ini.

Jelas Abdul Kadir, kejayaan PKR dan DAP dalam pilihan raya umum ke-12 lalu dan pembentukan Pakatan Rakyat pada 2008 berlaku kerana gabungan itu mempunyai parti tunjang iaitu PAS.

Abdul Kadir turut mempersoalkan tindakan DAP menendang PAS keluar daripada Pakatan Rakyat kerana menganggap ia langkah ke belakang.

“Malang nasib rakyat dan malang nasib Malaysia. Tetapi tidak mengapa, PAS perlu ingat kamu adalah parti tunjang," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata kekuatan PAS adalah terus daripada ahlinya yang berjuang tanpa mendapat sebarang imbuhan.

Namun Abdul Kadir mencadangkan PAS membuat sedikit perubahan supaya parti itu mampu kekal relevan mengikut arus perdana.

“PAS harus buat penyesuaian-penyesuaian yang perlu dengan melihat gambaran yang lebih besar,” ujarnya.

Bagaimanapun Abdul Kadir tidak menyatakan apakah perubahan yang dicadangkannya itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...