TERKINI :

Sunday, September 27, 2015

Pakatan Harapan langkah berani, kata Mat Sabu

SHAH ALAM - ‎Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menyifatkan penubuhan Pakatan Harapan merupakan satu langkah awal dan berani yang dilakukan parti-parti pembangkang yang mahu bersatu semula untuk membentuk muafakat politik baharu.

Oleh itu, ujarnya langkah awal ini perlu diikuti dengan dialog dan perbincangan terus menerus dan serius dengan parti-parti politik yang ingin bersama Pakatan Harapan.

"Sesungguhnya rakyat mahu melihat arah tuju Pakatan Harapan  dan yang paling penting manifesto rakyat menjelang PRU14.

"Maka pandangan semua pihak termasuk NGO, orang perseorangan atau kesatuan, perlu dikutip agar manifesto yang akan dihasilkan benar-benar mantap dan dijulang secara bersama," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamat atau dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Amanah menyeru kepada "semua ahli dan penyokong dan mereka yang bersimpati", untuk terus berusaha memantapkan Pakatan Harapan dan melebarkan  pengaruh.

"... serta menyebarkan segala maklumat yang betul dalam memberi pengharapan kepada rakyat untuk membuat perubahan, terutama dengan keadaan Malaysia sekarang yang cukup parah khasnya dari sudut ekonomi dan perkauman.

"Kita juga mengharapkan semua parti-parti pembangkang yang lain dan juga NGO agar turut bersama dalam usaha menyelamatkan Malaysia dan membebaskan penderitaan rakyat  yang semakin menjdi-jadi akibat salah laku, rasuah yang menjadi budaya baharu di negara ini," katanya.

‎Pakatan Harapan ditubuhkan baru-baru ini selepas rundingan meja bulat antara DAP, PKR dan Amanah sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan pembangkang baharu di sebuah hotel.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...