TERKINI :

Friday, September 11, 2015

Jangan Malukan Pahlawan Bugis, pastikan 16 September nanti wajib dihadiri lebih 500 ribu..!!

HIMPUNAN SOKONG NAJIB 16 SEPT WAJIB DIHADIRI LEBIH 500 RIBU PESERTA...

Tidak ada sebab lain perhimpunan baju merah yang akan diadakan pada 16 September ini selain untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Najib Razak yang semakin bergoyang kedudukannya.

Walaupun ia turut dinamakan "Himpunan Maruah Melayu", "Himpunan Melayu Bersatu", "Himpunan Rakyat Bersatu" dan sebagainya, satu-satunya tema paling logik dan dapat diterima akal ialah untuk menyokong dan mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri.

Lebih logik jika slogan perhimpunan baju merah itu ialah "Sokong Najib Dapat RM2,600 Juta", "RM2,600 Juta Bukti Najib PM Paling Wibawa" dan lain-lain ungkapan yang semaksud dengannya.

Ini kerana perhimpunan baju merah ini tidak lain adalah reaksi kepada himpunan baju kuning Bersih 4 selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu yang antara gegarannya ialah mendesak pengunduran Najib daripada singgahsana Seri Perdana kerana isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterimanya.

Oleh sebab baju kuning menolak Najib, himpunan baju merah mestilah untuk terus menyokong dan mempertahankan Najib.

Tema-tema lain, kata orang Pahang "tak boleh pakai lalu."

Untuk mengaitkan perhimpunan baju merah ini dengan kedudukan  atau maruah Melayu langsung tidak ada kaitannya kerana tidak terlihat di mana-mana mereka sedang terancam dan tergugat ketika ini. 

Orang Melayu masih kekal seperti selalu, yang kaya terus bergembira, yang miskin tetap papa kedana dan yang lupa diri, tetap juga tidak ke mana-mana.

Mereka yang bekerja dengan syarikat Cina tidak terlihat apa-apa perbezaannya, malah di mana-mana dapat dilihat Melayu, Cina dan bangsa-bangsa lain bergaul mesra tanpa ada rasa curiga sama ada dalam berkawan atau berkongsi niaga.

Pemimpin Melayu yang gemar menghabiskan wang dengan cigar dan berpoya-poya di hotel-hotel berjenama tidak pula terlihat mengurangkan aktiviti mereka demi membela bangsa sendiri yang kononnya sedang terancam dan tergugat itu.

Pemimpin Melayu, adik beradik dan saudara mara mereka yang dibelakangnya ada tauke Cina juga terus dengan aktiviti mengumpul kekayaan mereka atas konsep sama-sama merasa.

Maka, di mana benarnya Melayu sedang tergugat dan terancam serta maruah mereka dalam bahaya?
Tidak seperti Bersih 4 yang berlangsung dengan jayanya, ia tidak sesekali melibatkan kaum.  Bersih 4 adalah perjuangan rakyat. Kehadiran kaum Cina yang agak ramai hanyalah kebetulan saja, sama seperti  orang Melayu yang mendominasi dalam Bersih 1, 2 dan 3 sebelum ini.

Tuntutan Bersih 4 ialah mengenai pilihanraya dan kerajaan yang bersih dan oleh kerana Najib sedang diselubungi isu wang RM2,600 juta yang tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat sebagai derma, lantas menjadikan desakan kepada pengunduran Perdana Menteri turut bergema.

Laungan, sorakan dan air muka mereka yang hadir dalam Bersih 4, jelas tergambar keinginan untuk menunjukkan suara bantahan   serta desakan kepada pengunduran Najib, sementara isu-isu lain sudah kelihatan makin mengecil lantaran derma yang diterimanya agak luar biasa.

Walaupun sehingga ini pihak polis tidak membenarkan perhimpunan baju merah ini kerana ia berunsur perkauman dan diadakan pula di kawasan orang-orang Cina seperti Bukit Bintang dan Jalan Petaling, Najib dan Zahid Hamidi nampak terbuka sekiranya ahli-ahli UMNO ingin menghadirinya.

Kedua-dua mereka tidak menghalang kehadiran ahli UMNO dan ini secara langsung mengesahkan tujuannya lebih untuk menyatakan sokongan kepada Najib.

Selain pelbagai poster dan jualan baju T sedang galak dijalankan untuk merangsang kehadiran orangramai, terdapat juga maklumat mengatakan arahan turut dikeluarkan kepada UMNO bahagian-bahagian seluruh negara bagi memastikan masing-masing ada peranannya dalam himpunan itu nanti.

Setelah disorak dengan pelbagai lauangan dan jeritan mendesak berundur oleh kira-kira 500 ribu peserta Bersih 4 yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Tun Mahathir Mohamad dan kemudian dimalukan pula dalam Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa atau IACC yang dihadiri oleh peserta daripada 130 buah negara, Najib memang memerlukan sokongan yang lebih gegak gempita bagi memadamkan jerebu dalam kepimpinannya.

Lantaran itu, penganjur himpunan baju merah ini perlu mengumpulkan sekurang-kurang atau lebih daripada 500 ribu peserta  memenuhi sekitar Kuala Lumpur pada 16 September ini.

Meskipun sasaran kehadiran yang ditetapkan nampak tidak sekata dalam himpunan baju merah ini di mana ada yang mengatakan 100 ribu, 300 ribu dan ada yang meletakkan angka 1 juta, namun jangan sesekali kurang daripada 500 ribu.

Mereka harus menggunakan pelbagai cara dan kaedah untuk membawa seramai mungkin menghadiri himpunan tersebut bagi memenuh matlamat kehadiran melebihi 500 ribu itu.
Penganjur jangan malu-malu meminta bantuan daripada Najib yang tentunya masih mempunyai lebihan daripada derma RM2,600 juta yang diterimanya. Yang penting, sama ada dibayar atau sukarela, pesertanya tidak boleh kurang daripada 500 ribu.

Jika kurang daripada 500 ribu yang hadir, bermakna Najib terbukti semakin tidak mendapat sokongan berbanding himpunan Bersih 4 yang mahukannya berundur itu. 

Lagi pula, bukankah Najib kerap mendakwa 3 juta ahli UMNO tetap menyokongnya, lalu tentulah tidak mustahil untuk membawa antara 500 ribu hingga 1 juta orang bagi tujuan itu.

Dari segi moralnya, kalau kurang daripada 500 ribu yang hadir pada 16 September ini, Najib semestinya harus berundur dan meletakkan jawatannya kerana terbukti  lebih ramai yang mahukannya berundur berbanding mereka yang menyokong dan mempertahankannya.

Jangan bagi malu Pahlawan Bugis kali ini!! (SH 10/09/2015)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...